Thursday, September 19, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rawat gangguan jiwa berpandu Al-Quran

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Hati yang sihat mencerminkan perilaku yang baik, sebaliknya jika hati sakit mencerminkan perilaku yang buruk sebagaimana menurut Imam Al-Ghazali, perilaku atau akhlak yang buruk merupakan penyakit hati dan gangguan jiwa.

    Perkara tersebut antara yang ditekankan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned semasa menyampaikan Ceramah Khas Majlis Ilmu 2024 bertajuk Menangani Gejala Mental yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pagi tadi.

    Yang Berhormat Pehin menyatakan gejala mental itu ialah hati yang sakit dan perlu dirawat.

    “Tetapi dengan apakah hati ini dirawat? Dengan ubat apa? Kalau rawatan biasa, tidak lain, kita akan merujuk kepada rawatan psikiatri dan psikologi. Tetapi kedua-dua cara rawatan ini tidak pernah atau belum pernah melibatkan Allah selaku Maha Pakar dan Maha Penyembuh. Tentu sahaja para pakar terapi dan para pencipta ubat-ubatan belum pernah terlintas atau menyedari perkara ini, kerana dalam mencipta terapi dan ubat-ubatan mereka tidak menyemak atau berpandu kepada Al-Quran,” tekannya.

    Terdahulu, Yang Berhormat Pehin menegaskan walaupun rawatan-rawatan psikiatri dan psikologi sudah lama terpakai untuk merawat penyakit mental, namun masih perlu bagi kita mencari pelengkap sebagai gandingan kepada rawatan-rawatan psikiatri dan psikologi itu berdasarkan gejala mental terus meningkat.

    Yang Berhormat Mufti Kerajaan semasa menyampaikan Ceramah Khas Majlis Ilmu 2024 di Dewan Plenari, ICC, Berakas, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Tambahnya, kita tidak menolak sebarang rawatan yang ada yang berupa pelbagai terapi dan ubat-ubatan yang dicipta, tetapi kita juga perlu tahu bahawa penyakit mental pangkalannya ialah di hati iaitu penentu utama kesihatan mental.

    Sehubungan itu, untuk menangani gejala mental atau penyakit hati itu, Yang Berhormat Pehin menegaskan Al-Quran adalah sangat mustahak untuk dirujuk kerana bukankah penyakit mental pangkalnya di hati iaitu hati yang tidak tenang dan resah gelisah, itulah gejala mental.

    “Jadi apa hubungan perkara ini dengan Al-Quran? Jawabnya, sangat rapat hubungan itu.

    Kerana Al-Quranlah yang memberitahu bahawa jika hati berombak, tidak tenang atau mengalami masalah mental, maka berubatlah dengan zikir, di mana kepala zikir ialah Al-Quran. Hati yang bergelora sakit manakala diubat dengan zikrullah lalu ia pun tenang, maka itulah kesembuhan,” ujarnya lagi.

    Demi keyakinan terhadap Al-Quran, Yang Berhormat Pehin antaranya menyarankan kita me-rawat diri dengan Al-Quran dan mengambil sukut baik Majlis Ilmu yang berkat tersebut dan turut menasihatkan supaya gejala mental turut ditangani merawatnya dengan ayat-ayat suci Al-Quran.

    Merawat dengan ayat-ayat suci Al-Quran, tegas beliau, adalah satu jenis rawatan yang tidak diragukan lagi dan sangat mustahak untuk diperkenalkan di pusat-pusat kesihatan atau hospital dan klinik-klinik sebagai rawatan bersepadu dengan rawatan yang sedia ada.

    “Dengan adanya rawatan menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran, bererti kita menambah nilai daripada cuma satu rawatan kepada dua jenis rawatan iaitu Rawatan Bumi (psikiatri dan psikologi) dan Rawatan Langit (rawatan ketuhanan daripada ayat-ayat suci Al-Quran),” tegasnya.

    Jika ini terlaksana, katanya, maka Insya-Allah kitalah satu-satunya negara di dunia yang akan mempunyai rawatan bersepadu psikiatri dan psikologi dicampur dengan rawatan ketuhanan daripada Al-Quran.

    Ke arah pelaksanaannya, kita boleh kerah tenaga bersepadu di antara kementerian berkenaan dan pihak-pihak agama dengan berbincang bersama-sama bagaimana cara melaksanakan rawatan menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran itu untuk mengubat pelbagai kategori penyakit mental.

    “Rasa-rasanya, jika kita serius, dengan izin Allah, hasilnya pasti menjadi kenyataan,” tegas Yang Berhormat Pehin mengakhiri ceramah khas tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda