Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) mengumumkan tempahan empat buah pesawat Boeing Dreamliner 787-9 ketika syarikat penerbangan kebangsaan Brunei itu memulakan fasa pertumbuhan strategik seterusnya.
Sehubungan itu, satu majlis penandatanganan perjanjian pembelian pesawat Dreamliner 787-9 telah diadakan di antara RB dan Boeing semasa acara Singapore Airshow 2024 di Singapura hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif RB, Awang Sabirin bin Haji Abdul Hamid, menyatakan bahawa ketibaan pesawat Dreamliner 787-9 yang akan datang melambangkan langkah ke hadapan dalam perjalanan berterusan pihak syarikat ke arah inovasi dan kecemerlangan.
“RB telah mengendalikan Dreamliner 787-8 sejak 10 tahun lalu, dan dengan tempahan ini, ia akan memastikan kami meneruskan produk yang akan dinikmati oleh pelanggan kami.
Dalam usaha berterusan kami untuk menawarkan perkhidmatan yang tiada tandingan dengan standard keselamatan tertinggi kepada tetamu kami, pesawat baharu ini akan membolehkan kami menerokai bidang pertumbuhan baharu, mengukuhkan daya tarikan pasaran RB serta menyediakan pengalaman perjalanan yang unggul kepada tetamu kami,” kata beliau.
“Pemerolehan pesawat Dreamliner 787-9 meneruskan lagi jalinan kerjasama kami dengan Boeing sepanjang 50 tahun lalu di mana kami meraikan tahun ke-10 mengendalikan armada 787 di rantau ini pada tahun lepas.
“Kami tidak sabar-sabar untuk mencatat masa depan yang lebih berjaya dengan Boeing tatkala kami memulakan perjalanan baharu ini bersama-sama,” tambah Awang Sabirin.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan Boeing bagi Jualan dan Pemasaran Komersial, Brad McMullen, juga berkata dengan memperbaharui pelaburannya dalam Dreamliner 787, RB akan terus menghubungkan Brunei dengan dunia sementara menawarkan perkhidmatan unggul syarikat penerbangan dan keselesaan kepada penumpang.
“787-9 akan menawarkan fleksibiliti, kecekapan dan rangkaian yang dihasratkan RB untuk meningkatkan peluang perjalanan udara dan pelancongan.”