MADRID, 20 APRIL – Presiden Real Madrid, Florentino Perez berkata semalam kelab berkenaan tidak akan disingkirkan daripada Liga Juara-Juara kerana menyertai cadangan menyertai Liga Super Eropah (ESL).
Semalam enam kelab Liga Perdana Ingeris (EPL) iaitu Liverpool, Manchester United, Arsenal, Chelsea, Manchester City dan Tottenham Hotspur bersama dengan Real, Barcelona dan Atletico Madrid serta tiga kelab dari Itali, Juventus, Inter Milan dan AC Milan melancarkan kejohanan yang sudah dirancang itu.
Mereka mengambil keputusan keluar daripada Liga Juara-Juara yang tidak mendapat persetujuan UEFA dan memulakan kejohanan baharu ‘secepat mungkin’ dengan perancangan tiga lagi pasukan akan menyertainya dan lima pasukan dijemput secara tahunan.
Perez juga mendakwa Paris Saint-Germain (PSG) tidak dijemput.
UEFA berkata pasukan yang menyertai dalam kejohanan itu tidak dibenarkan bersaing dalam kejohanan selepas ini ketika kelab Perez iaitu Real selain City mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim ini.
“Ada beberapa ancaman daripada seseorang yang keliru antara monopoli dengan pemilikan,” kata Perez yang dinamakan sebagai Presiden ESL kepada program televisyen El Chiringuito.
“Real tidak akan disingkirkan daripada Liga Juara-Juara, pasti tidak. Sama seperti City, tiada siapa akan disingkirkan.
“Ia tidak akan berlaku. Saya tidak mahu babitkan alasan perundangan tetapi ia tidak akan berlaku. Ia mustahil,” tambahnya.
Badan induk bola sepak Eropah itu juga berkata pemain boleh diharamkan mewakili negara mereka.
“Mana-mana pemain boleh bertenang kerana ia tidak akan berlaku,” kata presiden berusia 74 tahun itu. – AFP