Wednesday, April 30, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Remaja ditahan selepas tembakan rambang ragut tiga nyawa

    UPPSALA, SWEDEN, 30 APRIL – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun telah ditahan pihak berkuasa Sweden susulan insiden tembakan yang meragut nyawa tiga remaja berusia antara 15 hingga 20 tahun di sebuah salon rambut di Uppsala, kata pihak berkuasa hari ini.

    Kejadian yang berlaku kelmarin itu mencetuskan kebimbangan awam menjelang sambutan Festival Musim Bunga Valborg, yang lazimnya menarik lebih 100,000 pengunjung, termasuk pelajar universiti dari seluruh negara.

    “Seorang suspek telah ditahan atas kesalahan membunuh,” kata Komander Polis, Erik Akerlund dalam satu sidang media, sambil memaklumkan siasatan masih diteruskan dengan beberapa individu lain turut dipanggil memberi keterangan.

    Pihak pendakwa mengesahkan suspek berusia 16 tahun, namun enggan mendedahkan identiti atas faktor perundangan.

    Media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya salah seorang mangsa mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah terancang, tetapi jurucakap polis Stefan Larsson berkata siasatan masih dijalankan secara menyeluruh tanpa menumpukan hanya kepada satu sudut.

    Uppsala turut dikenali sebagai ‘markas senyap’ kepada dua ketua geng paling dikehendaki Sweden, Ismael Abdo dan Rawa Majid, yang dipercayai masih mengatur aktiviti jenayah dari luar negara.

    Negara Scandinavia itu berdepan peningkatan kes tembakan dan pengeboman yang berkait rapat dengan konflik antara geng sejak beberapa tahun lalu.

    Polis semasa berada di tempat kejadian selepas insiden tembakan, di Dataran Vaksala, di tengah Uppsala, Sweden, kelmarin. – AP

    Akerlund turut memaklumkan bahawa polis telah memperoleh rakaman kamera litar tertutup dari lokasi kejadian serta beberapa bukti penting.

    Menteri Kehakiman, Gunnar Strommer menyifatkan insiden ini sebagai ‘amat serius’, manakala Datuk Bandar Uppsala, Erik Pelling pula menyatakan rasa terkejut dan kecewa terhadap kejadian tersebut.

    “Saya juga berasa marah perkara ini boleh berlaku. Kami terpaksa hidup dengan jenayah seperti ini. Ia mengecewakan kerana kami belum berjaya menanganinya dengan berkesan,” tegasnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda