RENNES, 2 JAN – Pemain kebangsaan Ivory Coast, Seko Fofana telah menandatangani perjanjian empat setengah tahun dengan Rennes, kelab Ligue 1 itu mengumumkan kelmarin, selepas 18 bulan bermain di Arab Saudi.
Pemain tengah berusia 29 tahun itu, yang mempunyai 22 penampilan untuk Ivory Coast, tiba dengan perjanjian yang dianggarkan bernilai 20 juta euro (AS$20.8 juta).
Bekas kapten Lens itu sebelumnya menyertai pasukan Cristiano Ronaldo, Al Nassr, pada musim panas 2023, selepas membantu kelab Perancis itu kembali ke Liga Juara-juara buat kali pertama dalam tempoh 21 tahun.
Bagaimanapun, Fofana tidak pernah menembusi kesebelasan utama di Timur Tengah, sama ada di Al Nassr atau semasa tempoh pinjaman di Al Ettifaq.
Rennes bergelut di tempat ke-12 dalam Ligue 1 – hanya empat mata di atas zon penyingkiran – dan berminat untuk membeli Fofana yang pernah bekerja dengan presiden eksekutif kelab Brittany, Arnaud Pouille di Lens.
“Terdapat pemain berbakat di Rennes dan saya fikir kelab itu tidak berada di tempat yang sepatutnya,” kata Fofana.
“Ia adalah pasukan yang sering saya lawan, ia dikira dalam kejuaraan ini. Saya tidak sabar untuk bermain,” tambahnya. – AFP