Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Reus ingin bertemu tekanan kepada Bayern

    BERLIN, 10 DIS – Dengan penyerang prolifik, Erling Haaland kembali cergas dan menemui semula sentuhan gol, Borussia Dortmund berharap untuk menamatkan tahun ini dengan bergaya dan merapatkan jurang dengan pendahulu Bundesliga, Bayern Munich.

    “Kami mahu memberikan tekanan ke atas Bayern, jadi untuk tiga perlawanan seterusnya akan menjadi sangat penting,” kata ketua pasukan, Marco Reus menjelang pertemuan derbi di Bochum pada Sabtu.

    Kekalahan 3-2 di laman sendiri minggu lalu di tangan Bayern menyebabkan Dortmund, yang menduduki tangga kedua, terpinggir empat mata.

    Haaland berjaya meledak empat gol dalam tiga perlawanan selepas kembali daripada kecederaan pinggul, termasuk dua sebagai pemain gantian pada Selasa ketika menundukkan Besiktas 5-0 – kemenangan terbesar Dortmund di laman sendiri dalam saingan Liga Juara-Juara.

    Pasukan kendalian Marco Rose dilihat berbeza sepenuhnya selepas kepulangan Haaland, dan Reus menginginkan kemenangan menentang Bochum, Greuther Fuerth dan Hertha Berlin dalam tempoh sembilan hari akan datang.

    Kesemua lawan mereka berada di kedudukan separuh bawah.

    “Sebaiknya, kami ingin membiarkan keputusan perlawanan untuk menceritakan segala-galanya,” kata Reus.

    Dia mengakui kegagalan Dortmund untuk mara ke peringkat 16 kelompok terakhir Liga Juara-Juara ‘masih terasa pedih’, namun matlamat mereka sekarang adalah menjulang trofi Liga Europa.

    Undian peringkat kalah mati akan ditentukan Isnin ini.

    Walau bagaimanapun, Dortmund boleh menjangkakan pertemuan sengit menentang seteru tradisi Bochum, yang memenangi tiga daripada empat perlawanan terakhir mereka untuk melonjak ke kedudukan pertengahan liga.

    Bayern akan mengharungi perlawanan sukar pada Sabtu bermain di laman sendiri bertemu Mainz, yang mencipta kejutan 2-1 ketika kedua-dua pasukan bertemu pada April, akan tetapi The Bavarians masih mempunyai rekod kemenangan yang besar iaitu 24 menang daripada 32 pertemuan antara kedua-dua pasukan di liga. – AFP

    Reaksi Erling Haaland menjaringkan gol semasa bermain menentang Besiktas, kelmarin.- AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda