Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Riadah Amal Hari Perkhidmatan Awam meriah

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Warga perkhidmatan awam berserta keluarga mereka tidak melepaskan peluang untuk sama-sama memeriahkan, menyertai dan menyokong usaha mengamalkan gaya hidup aktif sambil beramal menerusi Riadah Amal Hari Perkhidmatan Awam sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-29 yang berlangsung di ibu negara hari ini.

    Hadir merasmikan acara dan sama-sama menyertai acara walkaton yang bermula di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-29.

    Turut hadir ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Acara turut dihadiri dan disertai oleh timbalan-timbalan menteri, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan kerajaan serta ahli keluarga mereka.

    Majlis dimulakan dengan aktiviti memanaskan badan dan diteruskan dengan pelepasan acara berbasikal sejauh 10 kilometer oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi.

    Majlis diteruskan dengan pelepasan peserta walkaton sejauh 10 kilometer bagi peserta lelaki yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham. Manakala itu, pelepasan bagi aktiviti walkaton wanita sejauh 1.6 kilometer disempurnakan oleh isteri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datin Hajah Zubaidah binti Haji Mahmud.

    Riadah amal berkenaan dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan dan Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dengan matlamat untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga perkhidmatan awam serta keluarga mereka.

    Pada masa yang sama, ia juga menggalakkan amalan cara hidup yang sihat, ber-amal sambil beriadah dengan kutipan bagi tabung badan kebajikan kebangsaan serta menyokong usaha mencapai 20 Bilion Langkah Bersama Kementerian Kesihatan dan menyemarakkan lagi suasana Program Bandarku Ceria.

    Acara juga dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran dan mempromosikan gaya hidup yang sihat dalam kalangan warga perkhidmatan awam.

    Menteri-menteri kabinet menyertai acara memanaskan badan sebelum pelepasan peserta Riadah Amal Hari Perkhidmatan Awam sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-29, Tahun 2022 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
    Antara peserta bagi acara walkaton yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...