WASHINGTON, 2 APRIL – Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) sedang memindahkan ribuan anak kapal dari kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt sebagai langkah membendung penularan COVID-19 di kapal itu selepas kapten kapal mengingatkan tentang wabak koronavirus yang mengancam nyawa kru, kata Pemangku Setiausaha Tentera Laut, Thomas Modly.
Agensi berita Xinhua melaporkan, hampir 1,000 anggota telah dipindahkan dari kapal yang kini berlabuh di Guam itu.
“Dalam beberapa hari lagi, kami menjangkakan seramai kira-kira 2,700 dipindahkan,” katanya semalam. Namun mereka perlu mengekalkan kira-kira 1,000 di dalam kapal untuk menyelenggara kapal tersebut, tatkala ia menjalani pensterilan menyeluruh.
Pegawai Pentagon berkata semalam mereka sedang mengatur bilik hotel di pulau Pasifik untuk kakitangan, sementara mengatur sekumpulan kelasi yang tidak dijangkiti untuk mengendali kapal itu.
Menurut Modly, seramai 93 didapati positif COVID-19, 86 anggota menunjukkan gejala manakala tujuh lagi tidak. Setakat ini, 593 orang didapati negatif. Hampir 1,300 anggota sudah menjalani ujian saringan dan beberapa keputusan masih belum diperoleh.
“Kami kenal pasti dan kuarantin semua yang disyaki mempunyai kontak dengan pesakit. Semua yang disahkan positif dipindahkan dan diasingkan serta-merta,” katanya.
Berita mengenai penularan wabak COVID-19 di atas kapal itu mula tersebar pada 24 Mac. – AFP/Bernama