Wednesday, October 30, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribut ‘terkuat’ landa Belanda

    THE HAGUE, 5 JULAI – Belanda hari ini dilanda ribut musim panas paling kuat dalam rekod, membunuh seorang dan menyebabkan perjalanan udara dan kereta api antarabangsa menjadi huru-hara.

    Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam, salah satu lapangan terbang paling sibuk di Eropah, memberitahu AFP ia telah membatalkan 400 penerbangan selepas Ribut Poly membawa angin kencang dan hujan lebat.

    Kereta api Eurostar dari Amsterdam ke London dan perkhidmatan berkelajuan tinggi ke bandar Cologne dan Hamburg di Jerman turut dibatalkan, manakala banyak perkhidmatan kereta api domestik turut terjejas, menurut pengendali kereta api Belanda, NS.

    Angin kencang dengan kelajuan sehingga 146kmsj melanda pantai Laut Utara negara rendah itu, menumbangkan pokok dan memaksa pihak berkuasa Belanda memberikan amaran kepada orang ramai supaya duduk di rumah.

    Seorang wanita berusia 51 tahun maut apabila sebatang pokok tumbang ke atas keretanya di bandar Haarlem dekat Amsterdam, kata polis. Selain itu, lebuh raya ditutup kerana pokok tumbang dan lori terbalik.

    Lapangan Terbang Schiphol menyatakan gabungan angin kencang, hujan dan jarak penglihatan yang terhad menyebabkan ‘trafik udara sangat terhad’ untuk ketibaan dan pelepasan penerba-ngan sehingga sekurang-kurangnya pukul 4 petang.

    “Pada masa ini, 400 penerbangan telah dibatalkan,” kata jurucakap Schiphol kepada AFP. Lapangan terbang ini merupakan hab utama yang menghubungkan penerbangan dari Asia, Timur Tengah dan Amerika Syarikat ke seluruh Eropah.

    Semua perkhidmatan kereta api ke Schiphol juga dihentikan, menimbulkan kesulitan kepada para pengembara udara. – AFP

    Seorang wanita membawa beg pakaian di Lapangan Terbang Schiphol, berhampiran Amsterdam, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda