Sunday, October 27, 2024
34.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribut Trami badai Filipina, 97 maut

    MANILA, 27 OKT – Pasukan penyelamat di Filipina bergegas kelmarin untuk menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap di kawasan yang tidak dapat dilalui akibat banjir Ribut Tropika Trami, yang telah membunuh kira-kira 97 orang.

    Trami membadai pulau utama Luzon dan memaksa hampir setengah juta orang meninggalkan rumah mereka apabila hujan lebat menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh.

    Di wilayah Bicol yang paling teruk dilanda, penduduk yang terperangkap di atas bumbung dan tingkat atas rumah mereka masih menunggu bantuan yang amat diperlukan, kata pegawai.

    “Banjir masih belum surut. Panggilan meminta bantuan masih berterusan diterima di sini,” kata pengarah polis wilayah Bicol, Andre Dizon kepada AFP.

    “Kami perlu menyelamatkan mereka secepat mungkin kerana kelaparan boleh menjadi masalah. Kami menerima laporan bahawa kanak-kanak sudah mula sakit.”

    Di wilayah Camarines Sur di kawasan itu, bekalan makanan dan air minuman semakin berkurangan kerana beberapa kawasan masih tenggelam sepenuhnya dan sukar diakses, tambahnya.

    Presiden Ferdinand Marcos melawat wilayah itu kelmarin untuk memeriksa kerosakan.

    “Masalah utama kami di sini ialah banyak kawasan masih dilanda banjir,” katanya kepada pegawai kerajaan semasa taklimat.

    “Kami mempunyai sistem kawalan banjir tetapi jumlah air tidak terkawal. Ini adalah perubahan iklim. Semuanya baharu, jadi kami juga perlu mencari penyelesaian baharu,” tambah Marcos.

    Angka kematian Trami meningkat kelmarin ketika penyelamat menemui lebih banyak mayat dari kawasan banjir dan lokasi tanah runtuh, kebanyakannya dari wilayah Bicol dan wilayah Batangas, selatan Manila.

    Polis telah merekodkan 36 kematian di Bicol, kebanyakannya akibat lemas. – AFP

    Mangsa banjir menaiki perahu akibat hujan lebat yang dibawa oleh Ribut Tropika Trami di Naga, Camarines Sur pada 25 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda