Thursday, April 24, 2025
30.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Riena kini penyampai radio Hot FM

    Pelakon Riena Diana melengkapi trio Geng Pagi Hot (GPH), Hot FM bermula hari ini.

    Riena atau nama sebenarnya, Nur Qamariena Diana Zulreal dipilih mengendalikan segmen GPH bersama Fizie dan Mark Adam setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 hingga 10 pagi.

    Sebelum ini, pelakon yang dikenali menerusi watak Lailer menerusi drama Kampung People di TV3 itu diundang sebagai penyampai jemputan, beberapa minggu lalu.

    Kehadiran Riena sebagai penyampai radio Hot FM pastinya memberi pengisian lebih segar dan terkini, seiring dengan sasaran pendengar stesen radio berkenaan yang memfokuskan pendengar berusia 15 hingga 29 tahun.

    “Saya teruja dipilih menjadi sebahagian warga kerja Hot FM. Ini kerana saya ingin mencuba sesuatu yang baharu dalam kerjaya, selain mencabar diri mengetengahkan bakat yang ada.

    RienaDiana memulakan tugas sebagai penyampai radio Hot FM bersama Fizie dan Mark Adam, hari ini. – Agensi

    “Sejujurnya, kerjaya sebagai penyampai radio sangat mencabar, tetapi saya ambil peluang ini mendalami ilmu penyiaran radio.

    “Saya ingin membuktikan saya juha berbakat dalam dunia penyiaran radio dan pengacaraan. Cuma, masih banyak yang perlu dipelajari bagi memastikan kualiti penyampaian pada tahap memuaskan,” katanya.

    Riena berkata, bidang penyiaran radio adalah platform terbaik mengasah bakat menjadi artis lebih versatil.

    “Suara akan didengari oleh pendengar, setiap hari. Ini menjadi pemangkin buat saya untuk terus memperbaiki kelemahan dan menimba ilmu daripada rakan penyampai Hot FM lain.

    “Kepercayaan pendengar juga akan diutamakan,” katanya.

    Menyentuh mengenai kerjaya lakonannya, Riena berkata, dia masih aktif berlakon.

    “Bidang lakonan tetap menjadi keutamaan buat saya. Tetapi, saya kena fokus kepada bidang penyiaran radio buat masa ini memandangkan masih baru dan banyak ilmu perlu ditimba.

    “Saya masih menerima tawaran berlakon. Alhamdulillah, syarikat produksi memahami dan memberi saya ruang untuk berlakon.

    “Cuma, saya harus bijak membahagikan masa supaya jadual bersama Hot FM dan lakonan tidak bertembung. Jadi, saya kena memastikan segala jadual lakonan dirancang awal supaya tidak memberi masalah kepada pihak lain,” katanya.

    Sementara itu, pemilihan Riena sebagai teraju utama GPH menjadi langkah berani buat Hot FM. Ia diakui Ketua Audiens Melayu Hot FM, Nik NorAzura Nik Mahmood.

    “Hot FM sentiasa mencari bakat dan muka baharu dalam bidang penyiaran radio. Kami dapat melihat potensi dan komitmen Riena ketika diundang menjadi penyampai jemputan bersama Haziq dan Deen.

    “Penyampaian Riena sangat bersahaja dan tidak kekok walaupun ia percubaan kali pertama ke udara sebagai penyampai radio.

    “Kami melihat Riena mempunyai kebolehan berfikir secara kreatif dan spontan untuk mencetuskan perbualan bersama penyampai lain selama dua minggu ke udara,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda