Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rita Rudaini titip nasihat buat Bella Astillah

    Atas dasar simpati terhadap nasib menimpa Bella Astillah, pelakon jelita, Rita Rudaini terbuka berkongsi kata-kata semangat buatnya, lapor BH Online.

    Rita atau nama penuh, Rita Rudaini Mokhtar, 48, mengaku menitip semangat supaya ibu kepada dua cahaya mata itu terus kuat demi anak, pada pertemuan dalam program Melodi Raya 2024, baru-baru ini.

    “Saya tidak rapat dengan dia (Bella), cuma saya ikuti kisahnya yang sudah banyak kali ‘terkena’ (kes curang) sampai saya jadi letih. Jadi, saya minta untuk beritahu Bella supaya sudahlah.

    “Kemudian, saya jumpa Bella ketika program Melodi Raya 2024 dan dia memang ada niat hendak jumpa saya. Dia kata, sebab hendak ambil kekuatan dan tanya bagaimana saya boleh kuat.

    “Saya cakap senang sahaja, kalau hendak kuat, tengok anak. Awak hidup untuk siapa? Untuk jaga suami atau jaga anak? Selepas itu, apabila tengok sekarang, Bella sudah nampak semakin kuat,” katanya ditemui pada sesi temu ramah bersama pelakon sitkom komedi terbaharu terbitan TV3, Jabatan Call Centre (JCC) di Glenmarie, Shah Alam, baru-baru ini.

    Rita yang pernah mendirikan rumah tangga bersama pemain bola sepak, Aidil Zafuan Abd Radzak pada 2008 dan bercerai talak satu pada September 2013 berkata, dia tidak berniat untuk menggalakkan perpisahan.

    “Saya bukanlah mahu meraikan atau menggalakkan perceraian. Tetapi sebagai sahabat industri, saya lihat apa yang dia lalui sangat tragis. Sudah banyak kali terkena.

    “Ramai orang cakap supaya kasihan dekat anak kalau bercerai dan saya paling tidak suka itu. Sebenarnya, itu salah, kalau betul kasihan kepada anak, bawa dia keluar daripada lingkungan toksik,” katanya. – Agensi

    Rita bersyukur melihat Bella semakin kuat dalam meneruskan kehidupan. – New Straits Times
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda