Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Roket Jepun terbakar, pelancaran ditangguh

    TOKYO, 6 DIS — Agensi Angkasa Jepun (JAXA) mengumumkan bahawa pelancaran roket bahan api pepejal yang dijadualkan sebelum akhir Mac kini tidak dapat dilaksanakan, selepas ujian enjin baru-baru ini mencetuskan kebakaran besar.

    Pada bulan lalu, kelihatan api marak dan asap putih menyelubungi roket Epsilon S milik JAXA semasa ujian pembakaran yang gagal di selatan Jepun.

    Roket kompak itu dibangunkan untuk membawa satelit ke orbit, dan menurut laman web JAXA, ia ‘dirancang untuk mengurangkan nilai ambang ke angkasa lepas.’

    JAXA sebelum ini memberi amaran bahawa ujian pembakaran yang gagal pada November, yang disebabkan oleh ketidaknormalan teknikal, boleh menjejaskan jadual misi.

    Hasil siasatan lanjut kini menunjukkan pelancaran Epsilon S tidak dapat dilakukan sebelum akhir Mac seperti yang dijadualkan asal.

    “Secara realistik, kami berpendapat pelancaran sebelum akhir tahun fiskal ini adalah mustahil,” kata pegawai kanan JAXA, Masashi Okada, dalam sidang media kelmarin.

    “Sambil kami terus menyiasat punca kebakaran, kami akan menyemak semula jadual mengikut keperluan,” tambah Okada.

    Dalam insiden berasingan pada Julai 2023, salah satu enjin Epsilon S turut meletup kira-kira 50 saat selepas ujian nyalaan.

    Ia merupakan salah satu daripada beberapa halangan yang dihadapi oleh program angkasa Jepun, termasuk beberapa percubaan gagal untuk melancarkan sistem H3 generasi baharu. — AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda