Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Seramai 22 ahli daripada Rombongan Jabatan Agama Islam Negeri Johor meneruskan lawatan kerja ke Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Norain di Daerah Tutong kelmarin.
Lawatan rombongan bersempena dengan program lawatan kunjungan hormat ke Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang diketuai oleh Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Yang Berhormat Dato‘ Dr Haji Nooh bin Gadot.
Hadir bersama rombongan adalah Timbalan Mufti Johor, Sohibus Samahah Yang Berhormat Dato ‘Ahmad Faisal bin Mohamed.
Ketibaan rombongan di sekolah berkenaan dialu-alukan oleh guru besar sekolah, Dayang Hajah Noraisah binti Haji Musa dan Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil berserta pegawai-pegawai dari Jabatan Pengajian Islam (JPI), KHEU.
Melalui lawatan berkenaan, para ahli rombongan berkesempatan untuk menyaksikan dengan lebih dekat proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan di persekolahan ugama. Di samping lawatan ke kelas-kelas, pengisian lawatan juga diselitkan dengan sesi taklimat dan soal jawab.
Juga ditinjau adalah pendekatan pihak JPI dan pihak sekolah dalam menyediakan pembelajaran ugama bagi Murid-Murid Berkeperluan Khas yang mendukung hasrat pendidikan inklusif di negara ini.
Rombongan berkenaan dijadualkan untuk membuat lawatan seterusnya ke Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha hari ini.
Semua di atas: Suasana sekitar lawatan berkenaan.
