BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Sebagai salah satu aktiviti berkala masjid, seramai 30 orang terdiri daripada ahli jawatankuasa takmir (AJKT) dan keluarga daripada jemaah Masjid Universiti telah mengadakan lawatan ke dua buah masjid di Kuching baru-baru ini.
Rombongan diketuai oleh Pemangku Ketua Kampung Kawasan 2, RPN Kampung Rimba, Haji Mohammad bin Haji Kabun.
Ketibaan rombongan dialu-alukan oleh Konsulat Agung, TYT Sheikh Abdul Mahdani bin Dato Paduka Sheikh Haji Abdul Gani dan kakitangan Pejabat Konsulat Agung Brunei Darussalam di Kuching.
Pada hari pertama, rombongan telah melawat Masjid Jamek, Kuching, dan disambut oleh Ketua Bahagian Masjid Jamek Negeri Sarawak, Haji Mohd Nidzam bin Haji Ahmad, Ketua Bahagian Masjid Bandaraya Kuching, Nuraiman bin Omar serta jemaah masjid tersebut.
Sementara itu, taklimat mengenai sejarah awal masjid dan pentadbirannya telah disampaikan oleh Haji Mohd Nizam. Ketua rombongan juga memberi ucapan balas bagi pihak rombongan.
Semasa lawatan, pihak rombongan telah menyampaikan sumbangan berupa 20 naskhah Al-Quran dan 20 sejadah daripada pihak Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan sumbangan daripada Masjid Universiti.
Rombongan kemudian meneruskan lawatan ke Masjid Al Ghazali, Kuching dan taklimat sama mengenai sejarah awal masjid berkenaan telah disampaikan oleh Haji Adi Sumardi Haji Ghazali. Rombongan juga menyampaikan sumbangan daripada BIBD dan Masjid Universiti dan seterusnya menunaikan sembahyang fardu Jumaat.
Lawatan tersebut diharap dapat memberikan pengetahuan dan gambaran lebih jelas mengenai pentadbiran dan aktiviti masjid secara lebih meluas.