Saturday, September 21, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rong Chhun berdepan hukuman penjara 6 tahun

    PHNOM PENH, 20 SEPT – Seorang ahli politik pembangkang Kemboja yang lantang bersuara hadir di mahkamah hari ini untuk disoal siasat atas tuduhan baharu, yang merupakan sebahagian daripada siri kes undang-undang yang dikemukakan oleh pihak berkuasa terhadap pembangkang.

    Rong Chhun, penasihat kepada Parti Kuasa Negara, yang ditubuhkan tahun lalu, berdepan hukuman penjara sehingga enam tahun jika didapati bersalah atas pertuduhan baharu yang termasuk ‘menghasut untuk mengganggu kestabilan sosial’.

    Waran itu tidak menyatakan dengan tepat apa yang dilakukan oleh Rong Chhun, tetapi menghasut adalah tuduhan yang sering digunakan oleh pihak berkuasa Kemboja terhadap aktivis.

    Bekas naib presiden parti pembangkang, Parti Cahaya Lilin itu berkata beliau ‘bersedia’ untuk kembali ke penjara jika ditangkap.

    “Ia adalah penindasan dan sekatan terhadap kebebasan saya untuk menyertai aktiviti politik,” katanya kepada pemberita sebelum memasuki bilik mahkamah.

    Puluhan penyokong dan ahli parti berkumpul di luar Mahkamah Perbandaran Phnom Penh bagi menunjukkan sokongan mereka.

    Polis mendirikan penghadang di sekeliling mahkamah, menghalang wartawan dan penyokong daripada menghampiri pintu masuk.

    Rong Chhun sebelum ini ditangkap pada tahun 2020 selepas menuduh kerajaan melakukan ‘penyelewengan’ dalam pemisahan sempadan timur Kemboja dengan Vietnam.

    Beliau dijatuhi hukuman penjara dua tahun pada Ogos 2021 tetapi dibebaskan tiga bulan kemudian oleh mahkamah rayuan, dengan baki hukuman digantung selama tiga tahun. – AFP

    Rong Chhun memberikan isyarat selepas tiba di Mahkamah Perbandaran Phnom Penh kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda