Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ruang Niaga perkasa produk hasil penduduk tempatan

    Oleh Sim Y. H. –

    TEMBURONG, 31 JAN – Sebagai usaha untuk memperkasakan lagi dan mengetengahkan produk-produk hasil penduduk tempatan, Ruang Niaga Produk Tunas Daerah Temburong telah dirasmikan di Bangunan Jabatan-jabatan Kerajaan, Pekan Bangar, Temburong, hari ini.

    Perasmian ruang niaga berkenaan telah disempurnakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohamad Yassin bin Haji Ahmad; Ketua Bahagian Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah, ahli-ahli Badan Penasihat Syariah Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), pegawai-pegawai kanan BIBD, ketua-ketua cawangan jabatan-jabatan kerajaan Daerah Temburong serta pemangku penghulu mukim, ketua-ketua kampung dan pemangku ketua-ketua kampung.

    Sebanyak 13 pengusaha yang terdiri daripada peserta terpilih daripada BIBD Special Entrepreneurial Empowerment and Development Scheme (BIBD Seed), pengusaha-pengusaha Satu Kampung Satu Produk (1K1P) dan pengusaha tempatan ikut serta dalam Ruang Niaga Projek Tunas berkenaan.

    Projek itu merupakan satu program keusahawanan melalui penyediaan ruang niaga bagi membolehkan usahawan mempraktikkan sejauh mana latihan yang diketengahkan oleh pihak BIBD dapat dimanfaatkan dalam urus niaga mereka demi mencapai kejayaan.

    Ia juga merupakan sebuah platform bagi pengusaha tempatan mengetengahkan lagi produk-produk hasil penduduk tempatan.

    Orang ramai boleh mengunjungi ruang niaga berkenaan setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu bermula pukul 8 pagi hingga 3 petang di mana antara produk yang diketengahkan termasuk produk kraftangan seperti anyaman dan makanan kering.

    Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman merasmikan Ruang Niaga Produk Tunas Daerah Temburong di Bangunan Jabatan-Jabatan Kerajaan, Pekan Bangar, Temburong, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH TEMBURON
    Haji Mohammad Yusri memberikan penerangan mengenai produk yang diketengahkan di ruang niaga kepada Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman. – GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH TEMBURONG
    Orang ramai menyaksikan produk yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan yang terdapat di ruang niaga berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH TEMBURONG

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda