Saturday, September 21, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rumah Putih nafi Biden dirawat untuk penyakit Parkinson

    WASHINGTON, 9 JULAI – Rumah Putih kelmarin menafikan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden sedang dirawat untuk penyakit Parkinson.

    Ini selepas rekod pelawat menunjukkan seorang pakar neurologi terkemuka yang pakar dalam penyakit itu mengunjungi rumah eksekutif berkenaan sebanyak lapan kali dalam tempoh lapan bulan.

    Rekod itu yang boleh diakses oleh orang ramai di laman sesawang Rumah Putih, menunjukkan Dr Kevin Cannard mengunjungi rumah berkenaan sebanyak lapan kali dari Ogos 2023 hingga Mac tahun ini.

    Tidak jelas sama ada Cannard mengunjungi Rumah Putih dalam tempoh empat bulan lepas, lapor agensi Anadolu.

    Profil LinkedIn Cannard menyatakan beliau seorang pakar neurologi yang ‘menyokong Unit Perubatan Rumah Putih’.

    Presiden Joe Biden tiba untuk bercakap dengan penyokong dan sukarelawan semasa persinggahan kempen di pejabat pilihan raya kempen Biden-Harris di Harrisburg, Pennsylvania, pada 7 Julai lalu. – AFP

    Satu lagi profil awam di laman rangkaian profesional perubatan Doximity menyatakan Cannard telah mengusahakan terapi untuk penyakit Parkinson peringkat awal. 

    Pertemuan Cannard di Rumah Putih termasuk satu dengan doktor Biden, Dr Kevin O’Connor di Klinik Kediaman pada Januari, menurut semakan Anadolu terhadap rekod itu.

    Jurucakap Rumah Putih, Karine Jean-Pierre menafikan bahawa Biden sedang dirawat untuk Parkinson, tetapi beliau enggan menjawab soalan mengenai lawatan itu, malah enggan mengesahkan sama ada Cannard telah mengunjungi kompleks Rumah Putih. 

    Jean-Pierre memetik apa yang dipanggilnya sebagai hak privasi pelawat.

    “Saya tidak boleh dari sini mengesahkan mana-mana perkara itu, kerana kami perlu menjaga privasi mereka. Saya percaya mereka juga akan menghargai itu. Kami perlu menjaga privasi mereka,” katanya.

    “Tidak kira betapa kuat awda mendesak saya, betapa marah awda dengan saya pun, saya tidak akan mengesahkan nama.

    “Tidak kira sama ada ia ada dalam log. Saya tidak akan melakukannya dari sini. Itu bukan sesuatu yang akan saya lakukan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda