Friday, January 3, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rusia, Ukraine tukar 300 tahanan perang

    ISTANBUL, 31 DIS – Rusia dan Ukraine lakukan pertukaran 300 tahanan perang kelmarin, lapor Agensi Anadolu (AA), memetik kenyataan Kementerian Pertahanan Rusia.

    Kenyataan kementerian itu menyatakan bahawa 150 anggota tentera Rusia telah dikembalikan oleh Kyiv dan semuanya kini menerima bantuan psikologi dan perubatan di negara jiran, Belarus.

    Kenyataan itu menambah bahawa semua anggota tentera yang dipindahkan oleh Ukraine akan dibawa ke Rusia untuk rawatan dan pemulihan.

    Kenyataan itu juga menyebut bahawa 150 anggota Ukraine telah dikembalikan sebagai pertukaran, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi pengantara dalam pertukaran itu.

    Pihak berkuasa Ukraine masih belum mengesahkan pertukaran tahanan.

    Sejak permulaan perang Rusia-Ukraine pada 24 Februari 2022, Moscow dan Kyiv melaksanakan hampir 60 pertukaran tahanan perang.

    Pertukaran terakhir antara Moscow dan Kyiv dilakukan pada pertengahan Oktober lepas apabila kedua-dua negara menukar 95 tahanan perang masing-masing.

    Pada bulan lepas, Rusia dan Ukraine menuduh satu sama lain memperlahankan proses pertukaran tahanan.

    Sementara itu, perunding Rusia, Tatyana Moskalkova berkata pada awal bulan ini bahawa Moscow sedang merundingkan ‘pertukaran besar’ tahanan dengan Ukraine, tetapi perjanjian mengenainya belum dicapai dengan Kyiv. – Bernama

    Tangkap layar daripada video oleh Perkhidmatan Akhbar Kementerian Pertahanan Rusia kelmarin menunjukkan sekumpulan askar Rusia yang dibebaskan di Belarus. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda