Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sabah bakal terima pelaburan RM1B

    SEMPORNA, 18 Jun – Kerajaan Negeri Sabah akan membawa masuk pelaburan bernilai RM1 bilion untuk daerah Lahad Datu di Semporna sehingga ke Tawau, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

    Katanya beliau telah bertemu dengan Kumpulan Hap Seng yang mempunyai banyak pelaburan dalam pelbagai bidang.

    “Mereka telah menyatakan mahu melabur dalam sektor sedia ada termasuk kelapa sawit dan simen. Saya turut memberitahu bahawa mereka perlu ada fokus pelaburan dan kerajaan negeri sedia bagi bimbingan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri di Padang Bandaran Semporna di sini, hari ini.

    Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan berkata selain kawasan pantai timur Sabah, kerajaan negeri juga mahu pelaburan di bawa ke daerah termasuk di Sipitang serta Papar.

    Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tengah) bersalaman dengan para tetamu pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Padang Majlis Perbandaran Semporna kelmarin. – Bernama

    Dalam pada itu, satu inisiatif akan diambil dalam tempoh terdekat berkaitan pemberian tanah kepada penduduk kampung yang memohon geran sejak lebih 50 tahun lepas.

    “Saya minta, apabila diberi tanah, jangan jual tetapi bangunkan untuk anak cucu kamu,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Shafie berkata arahan telah dikeluarkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah supaya memberi kebenaran kepada parti pembangkang yang mahu mengunakan kemudahan seperti dewan dengan syarat dikenakan bayaran sewa dewan.

    “Saya sudah bagi arahan kepada (Timbalan Ketua Menteri Sabah) Datuk Jaujan Sambakong supaya membenarkan pihak pembangkang menggunakan semua dewan di negeri ini tetapi perlu membayar sewa kerana ini adalah kemudahan rakyat Jangan susahkan rakyat, biar dahulu kita (parti Warisan) dicaci dan dilarang menggunakan dewan,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri akan melaksanakan beberapa lagi langkah untuk membangunkan Sabah dan perkara itu akan diumumkan dalam sedikit masa lagi.

    Sebelum ini, antara langkah ketara dilakukan Mohd Shafie selepas menjadi Ketua Menteri Sabah adalah membuat pembaharuan kepada Yayasan Sabah serta menghentikan pembalakan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda