DUBAI, 19 FEB – Pemain nombor dua dunia, Aryna Sabalenka kelmarin berkata beliau ‘ketagih untuk menang’ dan dahagakan lebih banyak kejayaan besar selepas berjaya mempertahankan kejuaraan di Terbuka Australia bulan lalu.
Pemain dari Belarus itu kembali beraksi minggu ini di WTA 1000 di Dubai untuk kejohanan pertamanya sejak kejayaan Grand Slam keduanya di Melbourne Park.
Sabalenka, yang memulakan kempennya di Dubai menentang Donna Vekic pada pusingan kedua, mengakui masih ‘terkejut’ bahawa beliau dapat mengekalkan gelarannya di Melbourne, menyifatkannya sebagai ‘impian’, tetapi telah pun melihat ke hadapan untuk mencari lebih banyak trofi.
“Fikiran saya adalah untuk terus melakukan apa yang saya lakukan, terus berjuang, terus bekerja. Selepas kerjaya saya, untuk melihat kembali dan berfikir, ‘Wah, saya dapat mencapainya. Ia luar biasa’,” kata Sabalenka kepada pemberita di Dubai.
“Saya bukan jenis orang yang akan memenangi sesuatu dan berhenti. Seperti yang saya katakan, saya ketagih untuk menang. Saya rasa ini adalah sesuatu yang ada dalam darah saya dan saya terus melakukan, terus bekerja dan mudah-mudahan terus menang.”
Selepas mengalami kesukaran untuk melepasi pusingan keempat dalam 14 penampilan Grand Slam pertamanya, Sabalenka kini telah mencapai sekurang-kurangnya separuh akhir dalam enam kejuaraan utama berturut-turut, mempamerkan konsistensi luar biasa di peringkat tertinggi. – AFP