Sekadar perkongsian dan iktibar bersama buat sidang pembaca setia ruangan curhat ini, kediaku sememangnya sudah lama menyimpan hasrat untuk pergi menunaikan ibadat haji dan teringin untuk melihat Baitullah. Kediaku memang sudah lama menantikan saat yang indah untuk sujud di tanah suci.
Namun, hakikatnya memang pahit untuk diterima apabila Allah mengujiku dengan sesuatu yang lain. Dugaan yang diberikanNya ibarat sesuatu yang di luar kemampuanku, namun aku tetap bersabar.
Kalau ikutkan perkiraan dan persiapan yang telah ku siapkan selama ani, tahun ani memang 100 peratus kediaku berangkat bersama isteriku untuk mendaftar haji.
Tahun ani tah sepatutnya kediaku dapat menjawab panggilan Tuhan dan membersihkan diri daripada dosa.
Tapi, rupanya Allah ingin mengujiku dengan sesuatu yang bagiku berat iaitu dengan sakit jantung yang ku alami selama ani, lebih-lebih lagi kediaku disarankan oleh pihak doktor untuk menjalani pembedahan segera. Allahurabbi yang telah mengujiku dengan kesakitan yang menghalang diriku daripada menyempurnakan rukun Islam kelima.

Memang diriku sedih dan kecewa, namun apakan daya, aku cuba untuk redha dengan ketentuanNya dan mengingati diriku bahawa semua ani pasti ada hikmahnya dan Allah Maha Tahu dan Maha Bijak, di mana Dia tidak akan menguji hambaNya lebih dari batas kemampuan hambaNya.
Aku cuba untuk berserah dan berpasrah kepada Allah dengan mengucap lafaz ‘Laa haula wa laa quwwata illa billah’. Walaupun aku tahu, mungkin haji tahun ani inda kesampaian dan mungkin kediaku inda akan dapat menatap Kaabah sambil melafazkan bait-bait kalimah suci, ‘Labbaikallahumma labbaik’, tapi, aku percaya, Allah indakan pernah mensia-siakan usaha dan niat hambaNya.
Aku harap, suatu hari nanti, dapat menyempurnakan haji, Insya Allah.
Qodir
NASIHAT DANG MP
Terima kasih atas perkongsian curhat awda mengenai panggilan haji di atas. Saya menghormati dan menghargai kejujuran dan keberanian awda untuk berkongsi kisah awda dalam ruangan ini. Saya memahami bahawa awda sedang menghadapi situasi yang sukar setakat ini.
Namun, pada pandangan saya:
I. Awda adalah seorang hambaNya yang bertakwa, beriman, dan beramal soleh. Awda telah melakukan segalanya yang terbaik untuk menunaikan ibadah haji, yang merupakan salah satu rukun Islam.
II. Awda tidak bersalah atas apa yang berlaku kepada diri awda. Jangan bersedih atau kecewa untuk mencari bantuan atau doa.
III. Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Dia telah menguji awda dengan sesuatu yang baik dan bermanfaat untuk awda. Ingatlah ujian itu juga dapat meningkatkan iman dan takwa.