GIRONA, 11 DIS – Pendahulu fasa kumpulan Liga Juara-Juara, Liverpool hampir mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir dengan kemenangan 1-0 selepas Mohamed Salah menjaringkan gol menerusi sepakan penalti awal pagi tadi.
Liverpool telah membuat permulaan yang menakjubkan dalam pertandingan di bawah jurulatih Arne Slot, memenangi kesemua enam perlawanan mereka untuk melonjakkan lima mata di depan tempat kedua Inter Milan.
Pasukan gergasi Inggeris dicabar dengan malam yang sukar oleh Girona, yang tewas kepada kekalahan kelima dan hampir tersingkir.
Pasukan Slot bermula cergas semula dengan kembalinya penjaga gol Alisson Becker selepas dua bulan direhatkan kerana kecederaan dan pemain Brazil itu tidak menunjukkan sebarang tanda berkarat pada malam yang sibuk itu.
Liverpool mencemaskan pasukan tuan rumah pada 10 minit pertama apabila penjaga gol Girona Paulo Gazzaniga menepis tandukan Joe Gomez.
Selepas itu Girona mula menguji Alisson dengan percubaan Alejandro Frances serta bekas pemain sayap Tottenham Gil yang tergelincir ketika dia merempuh gawang Liverpool.
Darwin Nunez terlepas peluang peluang besar pertama Liverpool selepas Salah menyelinap masuk membuat hantaran dengan Gazzaniga menghalang percubaan rendah penyerang Uruguay itu.
Alisson diuji sekali lagi pada awal separuh masa kedua oleh bekas penyerang Bournemouth, Danjuma.
Di sebalik usaha berani Girona, pasukan raksasa Liverpool terbukti sukar untuk dihentikan dan pendahulu Liga Perdana itu mendahului dengan sepakan penalti setelah Luis Diaz dikasari.
Pemain sayap Colombia itu terjatuh di bawah cabaran Donny van de Beek dan selepas semakan VAR, pengadil menunjukkan titik penalti.
Salah menewaskan Gazzaniga untuk menjaringkan gol ke-50 dalam Liga Juara-Juara, menyamakan kedudukannya dengan Filippo Inzaghi sebagai penjaring gol ke-10 tertinggi sepanjang masa dalam pertandingan itu.
Slot kemudian menggantikan Nunez dengan Cody Gakpo, manakala Girona hambar selepas dibolosi dan tidak dapat membuat penembusan lebih jauh lagi ketika impian Liga Juara-Juara mereka semakin hampir tamat. – AFP