Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 19 NOV – Persatuan India Belait (IAB) telah meraikan Jubli Intan sempena memperingati ulang tahun penubuhannya ke-75 dan Malam Deepavali 2024 yang berlangsung di Pusat Insani, Seria, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan ucapan pada majlis tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Alok Amitabh Dimri.
Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa gembira terhadap hubungan yang terjalin menerusi persahabatan dalam masyarakat.
“Saya memuji keterangkuman masyarakat setempat dalam acara sebegini, yang akan memupuk persahabatan dan keharmonian,” tambahnya.
Turut hadir, duta-duta dan pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi, ketua pegawai eksekutif dan pengurusan kanan daripada pelbagai sektor termasuk bank, Syarikat Usahasama Brunei Shell (BSJV) termasuk syarikat lainnya.
Acara itu juga adalah untuk memperingati ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Brunei-India.
Semasa majlis itu, pelbagai anugerah telah disampaikan antaranya anugerah penghormatan yang telah diberikan kepada Presiden IAB, Salimo, termasuk semua bekas presiden dan naib presiden IAB dalam usaha yang dilakukan untuk memastikan kesinambungan warisan persatuan.
Selain itu, guru-guru yang telah diiktiraf oleh kerajaan Brunei turut diberikan penghormatan.
Bagi menyerikan lagi majlis itu, pelbagai tarian India dan persembahan muzik tarian yang diketuai oleh ahli dan belia IAB, disokong oleh muzik dan lagu Bollywood tradisional dan moden turut dipersembahkan, di samping hidangan asli masakan India.
Beberapa tayangan video yang mengimbau sejarah penubuhan IAB merangkumi akitiviti yang pernah dianjurkan seperti kempen derma darah dan derma amal juga ditayangkan pada majlis berkenaan.