SEOUL, 27 NOV – Samsung Electronics telah merombak kepimpinannya hari ini untuk memperkukuh kedudukan dalam pengeluaran mikrocip yang digunakan bagi pelayan kecerdasan buatan (AI).
Pengeluar cip memori terbesar dunia itu membuat permohonan maaf luar biasa pada Oktober, mengakui sedang berdepan ‘krisis’ serta timbul persoalan mengenai daya saing teknologi asas dan masa depan syarikat.
Samsung hari ini melantik Naib Pengerusi Jun Young-hyun untuk mengetuai perniagaan memori dan melantik Han Jin-man, yang sebelum ini mengetuai perniagaan cip di Amerika Syarikat (AS), sebagai ketua baharu bahagian foundri cip.
Rombakan tersebut bertujuan untuk ‘mengukuhkan pertumbuhan dan daya saing masa depan syarikat, dengan fokus kepada perniagaan semikonduktor,’ menurut kenyataan Samsung.
Walaupun syarikat itu mencatat peningkatan keuntungan operasi sebanyak 277 peratus kepada AS$6.6 bilion pada suku ketiga berbanding tahun sebelumnya, ia masih tidak memenuhi jangkaan pasaran. Sahamnya telah susut lebih 27 peratus tahun ini.
Samsung juga ketinggalan di belakang pesaing Korea Selatan, SK hynix, dalam pengeluaran cip memori lebar jalur tinggi (HBM) yang digunakan dalam cipset AI dan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pensijilan daripada gergasi AS, Nvidia, bagi produk terbaharunya.
Proses kelulusan yang tertangguh telah memberi peluang kepada pesaing Samsung untuk mencabar kedudukannya dalam pasaran yang berkembang pesat. Perubahan kepimpinan itu berlaku ketika Pengerusi Lee Jae-yong berdepan cabaran undang-undang. – AFP