Wednesday, April 30, 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sangat hormat, tetapi tidak takut – Inzaghi

    BARCELONA, 30 APRIL – Jurulatih Inter Milan, Simone Inzaghi berkata mereka hormati Barcelona tetapi tidak takut padanya, menjelang pertarungan separuh akhir Liga Juara-Juara esok pagi.

    Pasukan dari Itali tersebut telah tewas tiga perlawanan terakhir mereka dan menyaksikan harapan treble mereka musnah, manakala gergasi Sepanyol itu menyasarkan untuk empat kali ganda kemenangan.

    “Kami mesti memberikan penghargaan yang tinggi kepada Barcelona, ​​mereka mempunyai rekod yang luar biasa, mereka telah menang dua trofi dan bersaing untuk dua lagi, jadi kami sangat hormati, tetapi (kami) tidak perlu takut,” kata Inzaghi pada sidang akhbar kelmarin di Catalonia.

    “Kami bercakap tentang Barcelona, ​​Bayern Munich, Real Madrid, PSG, Manchester City, semuanya adalah lawan yang hebat dalam Liga Juara-Juara di mana jelas terdapat banyak persaingan (namun) kami telah membuat larian yang cemerlang.

    “Kami mahu bermain dua perlawanan separuh akhir ini dan terus maju.”

    Inter Milan tumpaskan pasukan gergasi Jerman, Bayern pada suku akhir tetapi tewas dua perlawanan dalam Serie A menjadi ketinggalan di belakang Napoli, dan juga tewas kepada AC Milan pada separuh akhir Coppa Italia.

    Namun, Inzaghi berkata keputusan terbaru berikut tidak seharusnya membatalkan kerja yang telah dilakukan Inter di bawah pemerintahannya sejak 2021.

    Inter memenangi Serie A musim lalu dan mara ke final Liga Juara-Juara pada 2023, di mana mereka tewas kepada Manchester City.

    “Kami datang dari minggu yang buruk, yang mana ia tidak memadamkan kerja yang telah dilakukan dengan baik, tetapi kami tahu kami perlu melakukan yang lebih baik,” sambung Inzaghi.

    “Kami telah menganalisis apa yang telah berlaku. Tetapi mengenai komitmen, dedikasi dan kesetiaan kepada pasukan, pemain-pemain ini tidak boleh diserang, kerana mereka melakukan usaha yang luar biasa.”

    Inter kehilangan penyerangnya Marcus Thuram, yang kali terakhir beraksi menentang Bayern pada perlawanan kedua suku akhir pada 16 April dan diharap sedia beraksi menentang Barcelona walaupun di bangku simpanan.

    “Esok kita tengok, terpulang kepada keadaannya pagi esok.”

    Thuram telah menjaringkan 17 gol dalam 44 penampilan sepanjang musim dan biasanya bergandingan dengan kapten Lautaro Martinez di hadapan untuk juara tiga kali itu. – AFP

    Simone Inzaghi semasa perlawanan Inter Milan menentang AC Milan di stadium San Siro, Milan, Itali pada 23 April. Inter hormati Barcelona namun tidak takut pada mereka. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda