RIO DE JANEIRO, 18 DIS – Santa Claus membuat kemunculan istimewa di Pantai Copacabana, Rio de Janeiro, dengan menaiki jet ski, membawa kegembiraan kepada puluhan kanak-kanak kurang upaya, kelmarin.
Acara itu adalah hasil kerjasama antara pasukan bomba Rio de Janeiro dan beberapa badan bukan kerajaan, yang bertujuan memberikan hadiah serta menceriakan kehidupan kanak-kanak berkenaan.
Dengan suhu 27 darjah Celsius, Sarjan Bomba, Thiago Carvalho de Paiva mengenakan kostum Santa Claus di Rio, meluncur di atas air diiringi sorakan daripada para pengungung pantai.
“Kami ingin mencari cara istimewa untuk kedatangan Santa Claus,” kata Renato Grigorovski, jurucakap Jabatan Bomba Rio.
Acara itu dimulakan dengan demonstrasi anjing pengesan menunjukkan kebolehan, diikuti makan tengah hari yang disertai dengan bertih jagung dan semangkuk acai yang menyegarkan. Perayaan tersebut mencapai kemuncaknya apabila Santa tiba dengan jet ski, membuat kemunculan gemilang di pantai ikonik kota Brazil itu.
Namun, tugas Santa tidak berakhir di sana. Selepas menyerahkan hadiah, De Paiva segera kembali ke laut untuk menyelamatkan tiga individu yang menghadapi kesukaran untuk kembali ke pantai. Tiada kecederaan dilaporkan, menurut pasukan bomba. – AP