Penyanyi Sarah Suhairi mendedahkan dia pernah menolak tawaran menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak kerana ingin menyertai program realiti Big Stage musim pertama pada 2018.
Sarah, 23, berkata, dia membuat keputusan menolak tawaran sambung belajar kerana ketika itu dia sudah pun mengikat kontrak bersama syarikat rakaman sebelum akhirnya memutuskan mengejar impian dalam bidang seni.
Bagaimanapun katanya, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan bapanya.
“Ketika itu saya sudah mengikat kontrak dengan label dan pihak pengurusan hantar saya pergi uji bakat Big Stage dan ayah juga beri sokongan untuk mencuba. Alhamdulillah dapat.
“Mula-mula ingatkan komitmen program itu tak banyak, jadi bolehlah sambil-sambil itu saya pergi kuliah tetapi apabila tengok jadual, memang saya kena lepaskan salah satu.
“Saya beritahu ayah dan dia izinkan saya sertai Big Stage sebab katanya saya boleh sambung belajar selepas itu nanti,” katanya kepada mStar.
Sarah berkata, dia sepatutnya mendaftarkan diri ke UiTM Seri Iskandar bagi jurusan Diploma Ukur Bahan.
Dalam pada itu, Sarah berkata, dia sebenarnya tidak pernah bercita-cita bergelar seorang penyanyi namun minatnya lebih kepada bermain alat muzik. – Agensi