Saturday, September 14, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sarawak buat pelaburan strategik dalam pengurusan hutan lestari

    KUCHING, 27 OGOS – Sarawak membuat pelaburan strategik dalam pengurusan hutan lestari (SFM) dan portfolio tenaga boleh diperbaharui untuk membina masa depan yang berdaya tahan dan rendah karbon selaku peneraju dalam penjagaan alam sekitar.

    Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata SFM menjadi faktor penting dalam mengimbangi kesejahteraan ekonomi, sosial dan alam sekitar.

    “Ia (SFM) penting untuk meningkatkan kehidupan rakyat, mewujudkan peluang pekerjaan, menjaga alam sekitar dan membantu ekonomi secara keseluruhan dengan meningkatkan produktiviti hutan dan perkhidmatan ekosistem sambil mengurangkan kesan perubahan iklim,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Serantau Asia Pasifik berkaitan Pemulihan Landskap Hutan 2024 di sini hari ini.

    Kira-kira 300 peserta menyertai persidangan selama tiga hari bermula hari ini sebagai platform untuk mengenal pasti dan memperkukuh amalan baik pemulihan landskap hutan bagi manfaat komuniti tempatan dan memenuhi komitmen antarabangsa.

    Awang Tengah berkata Kerajaan Sarawak telah melaksanakan amalan terbaik dalam pengurusan hutan dalam komitmen terhadap SFM termasuk mewajibkan semua pemegang lesen kayu hutan jangka panjang untuk mendapatkan Pensijilan Pengurusan Hutan (FMC).

    Setakat ini, beliau berkata sebanyak 34 FMC telah dikeluarkan dengan 26 bagi Unit Pengurusan Hutan (FMU) dan lapan untuk Unit Pengurusan Ladang Hutan (FPMU) merangkumi kawasan operasi, masing-masing seluas 2.38 juta hektar dan 122,800 hektar. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda