Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sardin bercacing ramai tidak tahu, kurang yakin

    KOTA KINABALU, 28 Jun – Meskipun isu penemuan cacing dalam produk sardin dalam tin yang diimport dari China telah ditularkan dalam media sosial dan media arus perdana namun masih ramai peniaga mahupun pengguna tidak tahu atau kurang yakin dengan berita yang tersebar berkenaan.

    Walaupun Kementerian Kesihatan mengesahkan dua jenama makanan sardin dalam tin yang dikesan mengandungi cacing baru-baru ini, namun tinjauan Bernama di beberapa kedai runcit di sekitar Kota Kinabalu mendapati peniaga dan pengguna berbeza pandangan mengenai isu berkenaan.

    Bagi peniaga yang belum mengetahui berita mengenai isu cacing dalam tin sardin, mereka bertegas akan terus menjual produk itu kerana mendakwa ia telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan selain mempunyai logo ‘halal’ pada tin sardin itu.

    Bagi peniaga yang mengetahui perkara itu, mereka terkejut kerana tidak menyangka sardin jualan mereka selama ini mengandungi bendasing berkenaan.

    Seorang peniaga, Norsiah Ahmad, 35, berkata beliau hanya mengetahui isu berkaitan cacing tetapi tidak menyangka ia melibatkan produk yang terdapat di premis jualannya yang terletak di Jalan Sinsuran.

    “Saya hanya mengetahui perkara itu pagi tadi dan sekarang ini saya merasa amat kecewa dan sudah pasti akan mengalami kerugian,” katanya ketika ditemui Bernama, hari ini.

    Katanya, sebagai seorang peniaga runcit secara kecil-kecilan penarikan produk itu dari pasaran akan menjejaskan sumber pendapatannya. Seorang pengguna, Romiah Taboyu, 57, pula berkata beliau tidak mempercayai berita itu walaupun telah mengetahui berita berkenaan selepas tular di aplikasi WhatsApp. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda