TOKYO, 31 MAC – Kementerian Kesihatan Jepun dan pihak berkuasa tempatan hari ini menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah lagi kilang Kobayashi Pharmaceutical di wilayah Wakayama, barat negara itu susulan kebimbangan kesihatan yang dicetuskan oleh makanan tambahan mengandungi beras yis merah atau ‘beni-koji’ keluaran syarikat berkenaan, lapor Xinhua.
Pemeriksaan yang dijalankan di bawah Akta Sanitasi Makanan telah dilakukan secara bersama oleh Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan (MHLW) serta kerajaan wilayah Wakayama untuk menyiasat punca di sebalik isu kesihatan yang dilaporkan.
Kilang Wakayama di Bandar Kinokawa, lokasi peralatan dari kilang Osaka dipindahkan selepas ditutup, terlibat dalam pengeluaran bahan mentah untuk makanan tambahan itu.
Ini merupakan hari kedua berturut-turut kilang syarikat itu diperiksa oleh MHLW selepas lawatan mereka ke kilang di Osaka kelmarin.
Setakat Jumaat, makanan tambahan berasaskan beras merah yang dikeluarkan oleh syarikat farmaseutikal yang berpangkalan di Osaka telah dikaitkan dengan lima kematian dan lebih daripada 100 orang dimasukkan ke hospital. – Bernama
