Friday, January 24, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Satu maut, dua cedera dalam insiden tikaman rambang di Jepun

    NAGANO, JEPUN, 23 JAN – Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam insiden tikaman rambang berhampiran Stesen JR Nagano, kelmarin malam, lapor agensi berita Kyodo yang memetik kenyataan polis tempatan dan pihak bomba.

    Penyerang yang melarikan diri dari tempat kejadian dengan senjata tajam kini sedang diburu polis. Sumber penyiasat menyatakan bahawa suspek dipercayai menyasarkan mangsa secara rambang.

    Ketiga-tiga mangsa diserang ketika sedang menunggu bas berhampiran stesen itu.

    Seorang daripada mangsa, Hiroyoshi Maruyama, 49, mengalami luka akibat ditikam pada bahagian kiri badan dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaannya, menurut pihak berkuasa.

    Perkhidmatan kecemasan dimaklumkan mengenai kejadian kira-kira 8:05 malam itu selepas seorang pemanggil melaporkan seorang lelaki tidak sedarkan diri selepas serangan itu.

    Seorang lelaki dalam lingkungan 30an mengalami kecederaan serius akibat ditikam di bahagian belakang, manakala seorang wanita berusia 30an cedera selepas diserang dan terjatuh, menurut pegawai.

    Polis memaklumkan bahawa seorang saksi menggambarkan suspek sebagai lelaki bertubuh kurus dalam lingkungan 40an, dengan ketinggian antara 165 hingga 175 sentimeter.

    Suspek memakai cermin mata dan menutup kepalanya dengan kain putih. Lelaki itu kali terakhir dilihat melarikan diri ke arah selatan menuju ke kawasan pusat bandar Nagano. Polis masih meneruskan operasi memburu penyerang itu. – Bernama

    Anggota polis memeriksa tempat kejadian tikaman berganda di hadapan Stesen JR Nagano di Nagano, wilayah Nagano, tengah Jepun pada 22 Januari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda