BANDAR SERI BEGAWAN, 2 APRIL – Dalam usaha menambah bekalan tabung darah negara, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Perkhidmatan Makmal Klinikal, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) telah mengadakan Kempen Derma Darah sempena Projek Fastabiqul Khairat Kementerian Pendidikan ke-5 bermula kelmarin dan hari ini, di Pusat Pendermaan Darah Hospital RIPAS.
Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Unit Strategik dan Perhubungan Maklumat Jabatan Pendidikan Kokurikulum, sebanyak 109 pain darah berjaya dikumpulkan pada kempen dua hari ini sekali gus membantu meningkatkan bekalan darah sebagai usaha menyelamatkan nyawa.
Kempen juga memberi peluang kepada pegawai dan kakitangan untuk membantu mereka yang memerlukan darah selain melahirkan insan yang mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat serta aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dalam membantu golongan yang memerlukan.