Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Mahkamah Majistret, hari ini, menjatuhi denda $5,000 ke atas sebuah syarikat atas pertuduhan gagal mengemukakan penyata tahunannya ke Bahagian Pendapatan, Kementerian Kewangan.
Wakil dari Syarikat CEC Casson Sendirian Berhad mengaku bersalah kerana gagal mengemukakan cukai pendapatan syarikat yang berakhir pada 31 Disember 2010, 2011, 2012, 2013 dan 2014.
Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid memerintahkan wakil syarikat untuk menjelaskan denda itu sebelum 28 Februari.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Siti Aisyah binti Haji Lakim mengemukakan dakwaan di bawah Seksyen 78(2) Akta Cukai Pendapatan (Bab 35) yang memperuntukkan denda $10,000 dan gagal membayar akan dikenakan 12 bulan penjara.
Di bawah Seksyen 52 Akta Pendapatan Cukai (Bab 35), syarikat-syarikat dikehendaki untuk melengkapkan butiran pendapatan pulangan bagi maksud menentukan pendapatan.