KUCHING, 2 FEB – SEDC Energy Sdn Bhd, anak syarikat Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Gallois New Energy Materials (M) Sdn Bhd untuk membina sebuah kilang pembuatan grafit bermutu tinggi di Bintulu, Sarawak.
Kilang itu yang terletak di Taman Perindustrian Samalaju (SIP), akan mengeluarkan grafit semula jadi sfera dan sintetik dengan pelaburan bernilai kira-kira RM6.3 bilion, kata SEDC Energy dalam satu kenyataan sempena majlis menandatangani MoU itu hari ini.
“Langkah strategik tersebut seperti yang digariskan dalam MoU itu akan menumpukan kepada produk grafit mewah melalui pelancaran pembangunan tiga peringkat yang dirancang menjelang 2025, tertakluk kepada ketersediaan tenaga 100 megawatt dengan memanfaatkan kelebihan infrastruktur Sarawak seperti kos yang lebih rendah serta kuasa hidro yang boleh diperbaharui,” katanya.
Kerjasama itu akan menyaksikan kedua-dua pihak meneroka peluang dalam industri kenderaan elektrik (EV), menjangkakan peningkatan keupayaan dan pertumbuhan mampan bagi Sarawak.
“Serentak dengan itu, keputusan kumpulan Gallois di Sarawak bagi kilang pembuatan grafit bermutu tinggi di SIP mampu mengukuhkan Sarawak sebagai sumber grafit global utama untuk bahan anod neutral karbon, ketulenan terbaik di luar China yang boleh memenuhi permintaan yang semakin bertambah bagi bekalan grafit yang mampan dan kos efektif dalam pasaran bateri EV yang berkembang.
“China, yang menyumbang lebih daripada 95 peratus produk grafit bermutu tinggi pengeluar global, telah mula menyekat eksport produk itu sejak Disember lepas.
“Oleh itu, pada masa sekarang terdapat permintaan tinggi untuk rantaian bekalan pembuatan grafit mewah di luar China, sekali gus menjadikan Sarawak rantaian bekalan global utama bagi grafit bermutu tinggi di luar China,” katanya. – Bernama