HARTFORD, 10 MAC – Seorang remaja Connecticut, Aleysha Ortiz, memfailkan saman terhadap bekas sekolah menengahnya kerana membenarkannya lulus dengan ‘kepujian’ meskipun dia masih tidak dapat membaca dan menulis.
Memetik laporan Oddity Central, Ortiz, 19, yang menamatkan pengajian di Hartford Public High School pada Jun lalu dan memperoleh biasiswa universiti, kini menyaman sekolah itu atas dakwaan pengabaian pendidikan sehingga menyebabkan tekanan emosi.
Menurut Ortiz, beliau hampir buta huruf dan hanya memiliki kemahiran membaca setanding murid darjah satu. Sejak kecil, dia menghadapi kesukaran belajar dan masalah itu berlarutan selepas berpindah ke Amerika Syarikat (AS) dari Puerto Rico pada usia lima tahun.
Dia mendakwa sekolahnya serta guru khas yang ditugaskan kepadanya tidak memberikan bantuan secukupnya. Hanya sebulan sebelum tamat pengajian, pihak sekolah baru menjalankan ujian tambahan dan menyedari dia masih tidak mampu membaca atau menulis dengan baik.
Pihak sekolah dilaporkan telah menawarkan perkhidmatan pembelajaran intensif sekiranya dia menangguhkan penerimaan diploma, namun Ortiz menolak tawaran tersebut.
“Mereka sudah ada 12 tahun untuk membantu saya. Sekarang, ini adalah masa saya,” katanya kepada CNN.
Walaupun berjaya menamatkan sekolah dengan kepujian dan diterima masuk ke Universiti Connecticut, Ortiz mengakui dia bergantung sepenuhnya kepada aplikasi pintar untuk membaca, menulis dan mengisi permohonan kolej.
Namun, cabaran sebenar bermula selepas memasuki universiti. Ortiz mengakui bahawa dia bergelut dengan pembelajaran dan telah berhenti menghadiri kelas sejak awal Februari kerana ingin mendapatkan rawatan kesihatan mental.
Ortiz menegaskan bahawa tuntutan saman itu bukan sekadar untuk dirinya, tetapi bagi memastikan pihak sekolah bertanggungjawab serta mengelakkan pelajar lain mengalami nasib serupa. – Agensi
