Friday, September 20, 2024
34.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sektor bukan minyak dan gas tumbuh 5.3 peratus

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 DIS – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara Brunei Darussalam pada separuh pertama 2023, menurun pada kadar 1.1 peratus tahun-ke-tahun.

    Penurunan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan sebanyak 7.8 peratus tahun-ke-tahun dalam sektor minyak dan gas, mengambil kira penurunan aktiviti perlombongan minyak dan gas sebanyak 7.4 peratus dan pembuatan gas asli cecair (LNG) sebanyak 9.4 peratus.

    Sektor bukan minyak dan gas mencatat pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus tahun-ke-tahun disumbangkan oleh perkembangan dalam sektor pengangkutan udara, kewangan dan pembuatan lain-lain, manakala sektor pertanian, perhutanan dan perikanan telah menurun sebanyak 2.7 peratus tahun-ke-tahun dengan penurunan aktiviti-aktiviti pengeluaran perikanan dan sayur-sayuran, buah-buahan dan pertanian lain.

    Perangkaan perkembangan ekonomi Negara Brunei Darussalam dikongsi dalam Kenyataan Dasar BDCB 2/2023 yang dikeluarkan oleh Brunei Darussalam Central Bank, di sini, baru-baru ini.

    Prestasi ekonomi sepanjang 2023 dan 2024 akan tertakluk kepada aktiviti-aktiviti ekonomi domestik, prestasi projek pelaburan langsung asing (FDI) yang sedia ada dan kemajuan pelaksanaan projek FDI baharu.

    Pertumbuhan sektor bukan minyak disumbangkan oleh perkembangan dalam sektor pengangkutan udara, kewangan dan pembuatan lain-lain. – GAMBAR FAIL OLEH MUIZ MATDANI

    Risiko penurunan kekal dengan jangkaan permintaan luaran yang lembap dan tahap pengeluaran minyak mentah dan LNG yang rendah. Secara amnya, sentimen perniagaan sektor swasta adalah sedikit optimistik dengan purata Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) pada kadar 50.1 bagi 10 bulan pertama pada 2023.

    Sebahagian perniagaan merancang untuk menambah tenaga kerja dan meningkatkan tahap pelaburan dalam masa terdekat. Walau bagaimanapun, cabaran-cabaran masih dihadapi dalam kalangan peniaga seperti peningkatan kos perniagaan dan kesukaran mendapatkan serta mengekalkan tenaga kerja.

    Selaras dengan trend penurunan kadar inflasi global, kenyataan dasar berkenaan menyatakan Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan kadar inflasi yang lebih rendah pada 2023 berbanding 2022. Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan peningkatan pada kadar 0.3 peratus tahun-ke-tahun bagi tempoh 10 bulan pertama 2023 berbanding kenaikan 3.8 peratus tahun-ke-tahun pada tempoh yang sama pada 2022.

    Peningkatan itu sebahagian besarnya didorong kenaikan harga makanan seperti daging, beras dan bijirin serta restoran dan hotel termasuk perkhidmatan katering.

    Kadar inflasi yang rendah di negara ini juga didorong oleh beberapa faktor seperti subsidi, kawalan harga bagi sebahagian barangan dan dasar monetari iaitu kesamarataan nilai dolar Brunei dan nilai dolar Singapura.

    Dengan adanya faktor-faktor berkenaan dan pengekalan tahap dasar monetari, Monetary Authority of Singapore (MAS) pada Oktober 2023, kesan inflasi yang diimport ke atas harga domestik adalah terkawal.

    Berdasarkan faktor-faktor berkenaan dan data IHP terkini, BDCB menurunkan unjuran inflasi Negara Brunei Darussalam bagi 2023 kepada lingkungan sifar peratus hingga 1 peratus.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda