Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Sektor perundangan perlu serap teknologi semasa

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Bahiyah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 FEB – Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan kerjasama Pejabat Peguam Negara mengelolakan Seminar Perundangan ke-3 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Dewan Bankuet, JPM.

    Pada majlis berkenaan, teks ucapan khas Menteri di JPM, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof telah disampaikan oleh Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-undang) di JPM, Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohd Taib.

    Ucapan khas itu merista kembali titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38 pada 2022 di mana inti pati titah adalah bagi mempercepatkan pengukuhan transformasi digital sebagai sebahagian daripada pemulihan ekonomi bagi memastikan norma baharu dapat dilaksanakan dengan berkesan.

    Ucapan berkenaan seterusnya menyentuh tema seminar perundangan iaitu Law and Technology: Challenges, Opportunities and Way Forward, yang berpatutan dengan titah Baginda Sultan mengambil kira perkembangan serta peredaran semasa.

    Dalam era globalisasi dan dengan adanya kesalinghubungan segera tanpa sempadan, kehidupan harian semakin serap dengan teknologi maklumat di semua sektor termasuk di sektor awam.

    Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmad turut hadir semasa seminar berkenaan.
    Hajah Nor Hashimah semasa menyampaikan teks ucapan khas.

    Maka menjadi satu keperluan bagi warga perkhidmatan awam untuk mempunyai asas kefahaman terhadap teknologi maklumat supaya dapat sentiasa kekal relevan dalam mengenal pasti, mengetahui dan memahami isu-isu semasa agar dapat merangka serta melaksanakan strategi-strategi yang berfikiran ke hadapan untuk menangani isu-isu berbangkit.

    Selain daripada menangani isu-isu terbaharu, sektor awam juga diharapkan akan dapat memanfaatkan teknologi semasa termasuk mana-mana teknologi yang baru muncul bagi memudahkan serta mempercepatkan mana-mana tugas serta tanggungjawab sektor awam.

    Sektor perundangan juga perlu tidak ketinggalan dalam menyerapkan teknologi-teknologi semasa bagi memastikan bahawa kedaulatan undang-undang Negara Brunei Darussalam sentiasa dipelihara.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa; Pemangku Setiausaha Tetap (Tenaga) di JPM, ketua pendaftar dan pesuruhjaya kehakiman, peguam cara negara, pemangku ketua pendaftar Mahkamah Syariah, presiden Persatuan Undang-undang Brunei Darussalam dan pegawai-pegawai kanan dari Pejabat Peguam Negara serta agensi-agensi kerajaan.

    Penceramah-penceramah dari Pejabat Peguam Negara,Persatuan Undang-undang Brunei Darussalam, Brunei Darussalam Arbitration Centre dan Cyber-Security Brunei menyampaikan taklimat dalam seminar berkenaan.

    Antara topik yang dibentangkan adalah penyediaan rang undang-undang, kontrak, debt recovery, Jenayah Siber, MOUs, Amalan dan Trend Semasa, Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Alternatif di Negara Brunei Darussalam dan pengenalan ke atas Persatuan Undang-undang Brunei Darussalam, iaitu khususnya daripada perspektif teknologi dan undang-undang.

    Topik-topik berkenaan diharapkan akan dapat menjana pemikiran dan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan perundangan secara asasnya atau amnya terhadap perundangan dan secara khususnya berhubung dengan interaksi antara undang-undang dan teknologi.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...