Friday, December 20, 2024
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Selamat tinggal ladang organik terakhir S’pura

    SINGAPURA – “Tidak kira betapa majunya teknologi yang kami ada, kami tidak boleh meniru kerumitan tanah itu sendiri, dan kepelbagaian biologi yang kaya di ladang, yang menyumbang kepada jenis sayur-sayuran yang kami hasilkan di sini,” kata Chai Sheau Shi, 40, anak perempuan pemilik Fire Flies Health Farm Chai Kien Chin, 71.

    “Seluruh falsafah pertanian organik adalah untuk memastikan tanah itu mampan dan dijana semula melalui cara yang semula jadi dan bukan sintetik,” tambahnya.

    Fire Flies Health Farm, sebuah ladang sayur-sayuran di Lim Chu Kang Lane 2, telah ditutup pada 12 Julai lalu. Selain itu, dua buah kedai makan Thunder Tree milik keluarga itu di People’s Park Center dan VivoCity turut menghentikan operasi pada penghujung Mei dan Jun.

    Chai Kien Chin memulakan ladang organik pada tahun 1998. Dia sebelum ini mempunyai projek pertanian lain di mana dia menggunakan racun perosak dan melihat sendiri kesan buruk terhadap hasil tanamannya.

    Ladang sayur seluas 3.1 hektar itu perlu mengosongkan premisnya secara rasmi pada penghujung Ogos selepas tempoh pelanjutan yang diberikan oleh pihak berkuasa kepada Chai tamat, di mana kerajaan ingin menggunakan tanah itu bagi kegunaan tentera.

    Fire Flies Health Farm, sebuah ladang sayur-sayuran di Lim Chu Kang Lane 2, telah ditutup pada 12 Julai lalu. – ANN/The Straits Times
    Barisan pelanggan pada hari terakhir operasi gerai Thunder Tree cawangan VivoCity itu bermula sejam sebelum dibuka pada 11 pagi pada 30 Jun lalu. – ANN/The Straits Times
    Justin Tan menyerahkan album foto kepada Chai Sheau Shi, yang mengendalikan cawangan VivoCity. – ANN/The Straits Times
    Pada Jun tahun ini, sukarelawan membantu menganjurkan lawatan dan bengkel di ladang sebelum ditutup. – ANN/The Straits Times

    Persoalannya, mengapa tidak mendapatkan sebidang tanah lagi? “Kos yang lebih tinggi adalah satu perkara, dan bergerak ke arah penghasilan tinggi tanaman pada masa yang singkat, yang mana bertentangan dengan prinsip kami,” kata Cik Chai, yang menguruskan cawangan Thunder Tree di VivoCity.

    Kementerian Pembangunan Negara pada Ogos 2014 mengumumkan bahawa semua ladang berasaskan tanah mesti menggunakan sekurang-kurangnya 90 peratus tanah mereka untuk pengeluaran dan memenuhi tahap pengeluaran minimum. Sebelum itu, tiada tahap pengeluaran minimum untuk ladang berasaskan tanah.

    Dalam perkongsian di facebook pada 4 Mei lalu, ladang itu mengumumkan penutupannya. “Untuk ladang organik yang komited dengan cara alam semula jadi, kami tidak dapat memenuhi masa depan dengan cara ini, cara penggunaan teknologi tinggi untuk pertanian.”

    Semasa anak sulung Chai membantu di ladang, dua anaknya yang lain mengendalikan dua gerai makanan vegetarian yang dipanggil Thunder Tree, menjual lei cha fan (juga dikenali sebagai Thunder Tea Rice), hidangan tradisional Hakka, menggunakan bahan organic sayur-sayuran yang dituai dari ladang mereka.

    Kedai makanan Thunder Tree di People’s Park Center adalah yang pertama ditutup pada 31 Mei 2022. Pelanggan datang berduyun-duyun dari seluruh Singapura, seperti Tampines dan Admiralty, untuk menikmati makanan seperti nasi tauhu rebus, lei cha kolo mee, hakka yong tau foo, dan sudah tentu, nasi lei cha yang popular, disediakan oleh anak bongsu Cai You Zhao, 35, dan kakitangannya. Ada juga pelanggan yang berada di sana untuk mencuba makanan untuk kali pertama, serta pelanggan tetap.

    Pelanggan baharu, Jamie Lim, 19, berada di gerai itu bersama rakannya Joyce Chow, 19, di mana dia hanya mendengar tentang gerai itu dua hari sebelum ditutup di People’s Park Centre.

    Dia ingin mencuba lei cha kolomee mereka selepas mendengar ramai penggemar makanan memberikan pujian mengenainya.

    “Rasa kolomeenya sedap walaupun tanpa sup lei cha dan mempunyai aroma cendawan dan bijan yang sangat kuat, wangi, tidak seperti mi jenis kering Cina biasa dari gerai lain,” kata mahasiswa itu, yang menempuh perjalanan lebih sejam dari rumahnya di Admiralty untuk merasai makanan.

    Pelanggan tetap Leianne Tan, seorang jurulatih barre, benar-benar kecewa dengan penutupan itu. Dia menemui Thunder Tree pada Mei 2020 semasa tempoh perintah berkurung. Ia bermula sebagai makanan bawa pulang, tetapi dia sangat menyukainya sehingga dia mula memesan dari gerai sekurang-kurangnya lima kali seminggu.

    “Pertanian berasaskan tanah organik menghasilkan tahap fitonutrien yang lebih tinggi dan bakteria tanah yang pelbagai membantu menjadikan mikrobiom kita sihat,” katanya.

    “Kualiti lebih penting daripada kuantiti. Saya akan makan makanan organik padat nutrien, ditanam dengan penuh kasih sayang berbanding makanan yang ditanam secara hidroponik steril pada bila-bila masa,” tambahnya.

    Di cawangan di VivoCity, pelanggan beratur pada hari terakhir gerai operasi bermula sejam sebelum dibuka pada 11 pagi pada 30 Jun lalu. Pelanggan beratur dengan sabar dan sukarelawan mengedarkan pelekat Thunder Tree yang dicipta khas dan kipas mini.

    Selepas mangkuk terakhir nasi lei cha dihidangkan pada hampir 10:30 malam, Justin Tan, seorang mahasiswa berusia 25 tahun dan pelanggan tetap selama tiga tahun, menyerahkan al-bum foto kepada Chai Sheau Shi, yang mengendalikan cawangan VivoCity.

    Selain gambar-gambar yang dikumpulnya dari ladang dan gerai-gerai, album foto itu juga mengandungi nota bertulis tangan penghargaan dan terima kasih daripada pengunjung Thunder Tree.

    Tan mengunjungi gerai mereka hampir setiap hari, dan kadangkala sehingga dua kali sehari untuk makan tengah hari dan makan malam pada bulan Mei dan Jun.

    “Mengunjungi Fire Flies Health Farm memberi ketenangan fikiran kepada saya dan keluarga mengetahui bagaimana dan dari mana makanan kami datang,” tambahnya.

    “Satu perkara unik utama tentang gerai Thunder Tree ialah pemilihan sayur-sayuran yang dihidangkan dalam nasi mereka adalah berdasarkan apa yang ada untuk dituai di ladang mereka untuk minggu itu, justeru penggiliran sayur-sayuran bermusim ini juga membawa unsur kejutan untuk kami para pengunjung menantikan.”

    Pada Jun tahun ini, sukarelawan membantu menganjurkan lawatan dan bengkel di ladang sebelum ditutup.

    Lawatan ladang dikendalikan oleh sukarelawan, Cai, dan anak sulungnya Chai Nian Kun, 42, yang telah bekerja di ladang itu sejak menamatkan pengajian di politeknik.

    Pengunjung diberi pengenalan tentang ladang, ditunjukkan cara ia beroperasi dan memberitahu kebaikan pertanian organik.

    Pada bulan Julai, semua adik-beradik, bersama Chai dan beberapa saudara mereka, berkumpul di ladang untuk membantu membersihkan premis. Jentera pengorek juga digunakan untuk mengalihkan beberapa struktur dan lekapan sebelum tarikh akhir 31 Ogos.

    Di tengah-tengah hiruk-pikuk kawasan lapang, ada suasana kesuraman dan kerinduan. Dalam catatan Facebook terdahulu pada bulan Mei semasa keluarga mengumumkan penutupan ladang dan gerai makanan, mereka mengucapkan terima kasih kepada pelanggan mereka dan meninggalkan dengan petikan terakhir. – ANN/The Straits Times

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda