Tuesday, January 21, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Semua PPS di Sabah ditutup, mangsa banjir dibenarkan pulang

    KOTA KINABALU, 20 JAN – Seramai 1,289 mangsa daripada 437 keluarga di Pitas dan Paitan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, dan semua lapan pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup berikutan banjir di daerah itu pulih pada petang ini.

    Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan sebelum ini seramai 816 mangsa daripada 311 keluarga berlindung di tiga PPS di Pitas, manakala 473 mangsa daripada 126 keluarga di Paitan ditempatkan di lima PPS.

    “Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Pitas dan Paitan masing-masing telah mengisytiharkan semua PPS di daerah terbabit ditutup pada petang ini,” menurut kenyataan itu. Cuaca mendung di Pitas dan Paitan pada petang, dan dijangka berterusan pada malam ini.

    Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia pada pukul 1:45 petang tadi mengeluarkan amaran ribut petir yang dijangka berlaku di beberapa kawasan di Tawau dan Sandakan sehingga 5 petang ini.

    “Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam. Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” menurut kenyataan itu. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda