Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) sedia membantu golongan artis yang berdepan masalah kesihatan mental, trauma dan seumpamanya.
Presiden SENIMAN, Zed Zaidi berkata, pihaknya menyediakan perkhidmatan kaunseling bagi membantu artis yang berdepan dengan masalah peribadi termasuklah bekas model dan pelakon, Zahnita Wilson, yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
“SENIMAN menyediakan khidmat kaunseling dan mempunyai kaunselor yang boleh membantu golongan artis yang berdepan trauma dan masalah kesihatan mental.
“Ia adalah salah satu usaha SENIMAN dalam membantu mereka kembali pulih,” katanya kepada BH Online. Bagaimanapun, Zed berkata, kejadian menimpa Zahnita adalah masalah peribadi kerana ia berkaitan dengan isu rumah tangga.
“Dari pandangan saya, ini lebih kepada soal peribadi dan tidak membabitkan industri seni. Namun, Zahnita adalah selebriti.
“Jadi, SENIMAN hanya boleh beri pandangan secara umum. Apa yang berlaku terhadap Zahnita sememangnya tidak sepatutnya berlaku kepada mana-mana wanita bergelar isteri.
“Suami perlu jadi pelindung kepada keluarga terutama isteri dan anak-anak.
Tanggungjawab suami adalah melindungi keluarga, bukannya melakukan keganasan.
“Isu ini sama seperti buli. Jadi, ini juga satu pengajaran kepada kita. Walaupun isu peribadi, tapi ini adalah masalah serius yang perlu dijadikan iktibar,” katanya.
Tambah Zed, SENIMAN tidak boleh mengambil tindakan selanjutnya memandangkan suami Zahnita bukan penggiat industri seni.
“Kami tidak boleh mengambil apa-apa tindakan, SENIMAN adalah badan bukan kerajaan (NGO). Kalau suami Zahnita seorang artis, mungkin kami boleh bertindak atau mencadangkan tindakan tertentu yang bersesuaian.
“Tapi, suaminya bukanlah penggiat seni, jadi tindakan seterusnya di bawah kuasa pihak polis,” katanya. – Agensi