Oleh Sim Y. H.
BELAIT, 16 JAN – Sebahagian bangunan bengkel mengalami kerosakan dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Perindustrian Sungai Bera, Daerah Belait, awal pagi, kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, seramai 45 orang pegawai dan anggota bomba dan penyelamat serta lima buah jentera dari Balai Bomba SPARK, Seria dan Kuala Belait yang diketuai oleh Timbalan Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi B, SFR Ajahrin bin Mail, dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 1:56 pagi.
Kebakaran melibatkan sebahagian bangunan yang berukuran 100 meter panjang dan 30 meter lebar yang diperbuat daripada spandik dan beratapkan zink.
Api dapat dikawal dalam masa 45 minit dan dalam kejadian berkenaan, tidak ada sebarang korban jiwa dilaporkan manakala punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Menurut JBP, operasi turut dibantu oleh agensi kerajaan dan swasta serta sebuah forklift dan jentolak milik syarikat berkenaan bagi sama-sama menangani kebakaran berkenaan.
Antara agensi yang terlibat dalam operasi berkenaan ialah JBP, Cawangan Operasi B, Daerah Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei, Cawangan Seria, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Cawangan Seria, Jabatan Kerja Raya, Cawangan Seria serta Syarikat Massutera Engineering Sdn Bhd.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya memastikan bangunan mereka dilengkapi dengan peralatan iaitu alat pemadam api mudah alih jenis ABC debu kering dan selimut api, memastikan untuk menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan bangunan serta memastikan penyimpanan bahan-bahan yang mudah terbakar di tempat yang lebih teratur dan pengemasan yang baik dan memastikan kebersihan di kawasan bekas sisa-sisa bahan bahaya.
Orang ramai juga disarankan supaya jika berlaku sebarang insiden kecemasan untuk menghubungi talian kecemasan 995 dan untuk memberikan maklumat yang tepat.