BELGRADE, 30 MEI – Serbia, yang telah berusaha bertindak neutral di antara Timur dan Barat sejak Moscow menyerang Ukraine, berkata semalam ia telah menandatangani kontrak jangka panjang baharu dengan Rusia untuk memastikan negara itu mempunyai bekalan gas yang mencukupi pada musim sejuk akan datang.
Ketika harga minyak naik di seluruh dunia, syarat-syarat sebenar perjanjian – yang akan memastikan Serbia mempunyai ‘musim sejuk yang selamat apabila ia membabitkan bekalan gas’ – akan diumumkan tidak lama lagi, kata Presiden Aleksandar Vucic.
Vucic menegaskan kontrak tersebut akan memberikan negara Balkan ‘syarat-syarat terbaik di Eropah.’
“Buat masa sekarang, ia bersamaan hampir satu pertiga daripada apa yang akan dibayar semua orang di Eropah, dan pada musim sejuk ia akan mewakili lebih satu persepuluh’ daripada apa yang dibayar oleh negara lain, katanya.
Serbia hampir bergantung sepenuhnya pada bekalan minyak Rusia dan mengimport kira-kira enam juta meter padu gas sehari daripada syarikat gergasi Rusia Gazprom. Moscow juga memegang saham majoriti dalam syarikat minyak dan gas Serbia, NIS.
Namun perjanjian dicapai ketika Kesatuan Eropah berusaha mengurangkan kebergantungannya pada Rusia untuk bekalan minyak berikutan serangan Moscow ke atas Ukraine, dan blok tersebut dijadualkan membincang kemungkinan mengenakan sekatan ke atas minyak Rusia pada satu sidang kemuncak kecemasan hari ini.
Vucic juga berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin mengenai kemungkinan mengembangkan fasiliti simpanan gas di Serbia. – AFP