Saturday, November 16, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    SESB laksana catuan elektrik di beberapa kawasan

    KOTA KINABALU, 27 MAC – Catuan bekalan elektrik terpaksa dilakukan secara bergilir-gilir bermula semalam di beberapa kawasan di negeri ini, menurut Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), hari ini.

    Operator Sistem Grid Sabah dan Labuan SESB, Adrian Leo Mosigil, berkata antara kawasan berkenaan ialah bandar raya ini, Sandakan, Tawau, Semporna, Kinabatangan, Papar, Tuaran dan Sipitang.

    Beliau berkata, catuan terbabit berlaku tanpa notis awal disebabkan kerosakan tidak dijangka pada satu set janakuasa milik stesen janakuasa bebas (IPP) di Kimanis yang menyebabkan Sistem Grid Sabah kehilangan 95 megawatt (MW).

    “SESB berharap set jana kuasa milik IPP berkenaan akan dapat diperbaiki sebelum waktu beban puncak hari ini bagi memastikan Sistem Grid Sabah mempunyai margin tenaga yang mencukupi untuk disalurkan kepada pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau berkata, cuaca panas kebelakangan ini telah memberikan kesan yang signifikan terhadap penggunaan tenaga elektrik di seluruh Sabah dan Labuan.

    “Oleh itu SESB meramalkan bahawa penggunaan tenaga elektrik akan tetap tinggi hingga esok. SESB telah merekodkan penggunaan tenaga elektrik tertinggi kelmarin iaitu sebanyak 1,128MW.

    “Secara kebiasaannya, penggunaan tenaga elektrik akan meningkat kira-kira 2 petang hingga 8 malam sahaja,” katanya.

    Sementara itu, SESB menerusi laman Facebook memaklumkan berlaku kekurangan penjanaan elektrik hari ini iaitu kapasiti 1,073MW berbanding permintaan waktu puncak diramal 3 petang ini pada 1,118MW. – Bernama

    Petugas SESB semasa memantau projek pengoperasian Stesen Janakuasa Mini SESB di Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Pulau Enoe pada 21 Mac. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda