Sunday, May 19, 2024
23.4 C
Brunei

    -

    Isu berbangkit USMS diperjelas

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE), Jabatan Perkhidmatan Air, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan DST Network Sdn Bhd (DSTN) yang merupakan salah satu subsidiari di bawah Darussalam Assets telah mengambil maklum mengenai isu-isu yang telah ditimbulkan oleh orang ramai mengenai perancangan penggantian meter prabayar kepada sistem meter pintar Unified Smart Metering System (USMS).

    Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan di sini, JPE, Jabatan Perkhidmatan Air dan DSTN telah memberikan penjelasan mengenai perancangan penggantian meter prabayar berkenaan yang ditularkan melalui media sosial dan aplikasi WhatsApp.

    Kenyataan itu menjelaskan, sistem meter pintar USMS merupakan sistem aplikasi mudah alih yang berhasrat bagi memudahkan pihak pengguna untuk memantau, merancang dan mengurus penggunaan tenaga elektrik dan air serta seterusnya menggalakkan sikap berjimat cermat dalam penggunaan bekalan-bekalan berkenaan.

    Projek itu juga salah satu usaha pihak kerajaan dalam mendukung aspirasi pelan strategik negara iaitu untuk menjadi salah sebuah negara pintar dengan transformasi digital bagi pengurusan dan operasi dalam meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan untuk orang ramai.

    Sejak sistem penyatuan itu dilaksanakan pada Oktober 2022, seba-nyak 21,891 meter pintar USMS telah pun dipasang oleh DSTN kepada para pelanggan, selaku pelaksana projek. Ia menggunakan tarif elektrik dan air sepertimana yang sedia ada tanpa sebarang perubahan kepada tarif berkenaan.

    Sistem berkenaan memastikan pengguna membayar bil elektrik dan air berdasarkan jumlah penggunaan tenaga elektrik dan air sebenar yang sedang digunakan (real-time).

    Dalam pada itu, daripada sekitar 2,000 meter pintar yang telah dipasang sejak Februari sehingga April 2024, sebanyak 77 aduan mengenai bil yang tinggi telah diterima melalui Talian Darussalam 123.

    Pihak JPE, Jabatan Perkhidmatan Air dan DSTN mengambil berat akan aduan-aduan dan kerisauan orang ramai mengenai ketetapan caj penggunaan elektrik meter pintar USMS berkenaan.

    Menurut siasatan, sebahagian besar aduan yang telah diterima daripada pelanggan meter pintar USMS adalah berpunca daripada penggangguan meter dan pelencongan pendawaian (meter tampering) iaitu 43 peratus, kurangnya kesedaran tentang penggunaan bekalan tenaga elektrik dan air dan kurangnya kefahaman terhadap tarif elektrik iaitu 33 peratus, membiarkan kredit meter pintar air kosong selama 48 jam yang akan menyebabkan pemindahan kredit dari meter pintar elektrik ke meter pintar air secara automatik iaitu 21 peratus dan lain-lain isu iaitu 3 peratus.

    Mengenai hal ehwal tunggakan penggunaan tenaga elektrik dan air, pihak kerajaan melalui JPE dan Jabatan Perkhidmatan Air secara ber-terusan menyediakan kemudahan pembayaran secara ansuran se-bagai kaedah pilihan kepada orang ramai bagi melunaskan tunggakan berkenaan secara berperingkat.

    Di kesempatan ini, pihak JPE mengingatkan orang ramai bahawa sebarang pengubahsuaian meter secara haram yang mana boleh saja mengakibatkan ketidakten-tuan operasi meter pintar USMS dan setentunya akan menjejaskan bekalan kepada orang ramai, adalah menjadi satu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi $50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, di bawah Akta Elektrik Penggal 71.

    Jika kesalahan berterusan, denda tambahan tidak melebihi $2,500 setiap satu hari atau sebahagian daripadanya selama mana kesalahan tersebut berterusan akan dikenakan.

    Selain itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak diketahui kesahihannya dan perlu ditekan-kan bahawa penyebaran maklumat palsu menurut Penggal 148 Seksyen 34 boleh mengakibatkan hu-kuman tiga tahun penjara atau denda $3,000.

    Pihak JPE, Jabatan Perkhidmatan Air dan DSTN akan terus mengadakan program pembarigaan bersama termasuk jerayawara ke daerah-daerah dan media sosial bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai dengan pro-gram penggantian kepada sistem meter pintar USMS dan juga TID Rollover.

    Para pengguna meter pintar USMS juga dinasihatkan untuk sentiasa memantau penggunaan bekalan tenaga elektrik dan air melalui aplikasi USMS atau melalui laman sesawang usms.com.bn, dan sekiranya disyaki ada sebarang perbezaan daripada penggunaan sebelumnya, pengguna dinasihatkan untuk menghubungi Talian Darussalam 123 (24 jam) ataupun Talian USMS 7399889 atau 7399899 semasa waktu bekerja (Isnin hingga Jumaat) bagi pihak JPE, Jabatan Perkhidmatan Air dan DSTN untuk membuat pemeriksaan lebih lanjut.

    Sepertimana yang telah dibarigakan sebelum ini, tujuan bagi penggantian kepada sistem USMS adalah bagi menyokong proses peralihan Token Identifier (TID Rollover), di mana tiga meter prabayar yang berjenama STAR, INHE dan PLESSEY tidak akan dapat menerima token elektrik dan akan mengakibatkan bekalan elektrik terputus.

    TID Rollover berkenaan merupakan satu isu global yang menjejaskan meter-meter prabayar yang telah disahkan piawaiannya oleh Standard Transfer Specification Association (STS) di seluruh dunia dan dijangka akan berlaku pada 24 November 2024.

    Oleh yang demikian, peng-gantian kepada meter pintar USMS merupakan salah satu langkah mitigasi utama bagi memastikan bekalan tenaga elektrik kepada pengguna tidak terjejas sama sekali semasa proses TID Rollover berkenaan.

    Gambar Freepik
    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...