Friday, September 20, 2024
34.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    SESB sasar turunkan SAIDI hingga 100 minit

    KOTA KINABALU, 28 DIS – Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menyasarkan untuk menurunkan Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) hingga 100 minit menjelang 2030 dalam usaha mengurangkan gangguan bekalan elektrik untuk rakyat di negeri ini.

    Pengerusi SESB, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata nilai SAIDI dalam sistem bekalan elektrik Sabah kini adalah kira-kira 274.43 minit yang dapat diturunkan berbanding 4,109 minit pada 2005, 424 minit pada 2013 dan 302 minit pada tahun lepas.

    “Banyak kemajuan telah dicapai dalam nilai SAIDI tetapi SESB akan bekerja keras untuk terus mengurangkannya bagi menjamin keperluan bekalan elektrik yang boleh diharap dan diyakini ke semua kawasan dan di seluruh Sabah,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan buku The SESB Story bersempena dengan sambutan Jubli Perak ke-25 SESB dan sambutan Krismas serta Tahun Baharu di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif SESB Mohd Yaakob Jaafar.

    Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata nilai SAIDI itu antara lima cabaran dihadapi SESB ketika ini, selain mencapai sasaran margin rizab bekalan tenaga elektrik sebanyak 30 peratus berbanding pada masa kini hanya pada paras 12 peratus, yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik kepada pengguna.

    Beliau berkata kebergantungan kepada Subsidi Sokongan Tarif (TSS) daripada kerajaan Persekutuan menyebabkan aspek kelestarian kewangan SESB berada pada tahap kritikal dan pada tahun lepas, TSS telah mencecah RM862 juta.

    “SESB menjual elektrik pada kadar purata tarif asas 34.52 sen seunit elektrik (sen/kWj), jauh lebih rendah berbanding kos purata penjanaan iaitu 43.83 sen/kWj. Perbezaan kadar ini mengakibatkan kerugian purata sebanyak 10 sen/kWj bagi setiap unit elektrik yang dijual,” katanya.

    Selain itu, bagi melestarikan kewangan SESB, beliau berkata adalah penting bagi SESB mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana pihak termasuk subsidi kerajaan untuk memiliki keupayaan penjanaan elektrik sendiri sekurang-kurangnya beban utama SESB sebanyak 700 MW. – Bernama

    Gambar fail pada 17 November menunjukkan keadaan di dalam Bilik Kawalan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB). – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda