Setelah lebih 12 tahun tidak mengendalikan acara besar secara langsung di televisyen, selebriti versatil, Sharifah Shahirah teruja bakal kembali beraksi menerusi Tonton Anugerah Drama Sangat (TADS) 2023 pada Ahad ini.
Tawaran yang diterima itu disifatkan sebagai satu peluang yang cukup baik buat Shahirah atau lebih mesra disapa sebagai Shiera untuk memenuhi permintaan peminat yang lama merindui aksinya sebagai hos di pentas berprestij.
“Alhamdulillah masih dapat peluang untuk mengendalikan program besar seperti ini. Sebelum ini ada juga stesen yang panggil, tetapi apabila masuk peringkat seterusnya nama saya ditolak.
“Namun kali ini nama saya lepas dan digandingkan pula dengan Sherry AlHadad. Saya dan Sherry kenal rapat, jadi tidak ada masalah untuk bekerjasama,” ujarnya.
Menurut Shiera yang juga penyampai radio Suria FM, dia tidak ada masalah untuk bergandingan dengan mana-mana pengacara, baik baharu mahupun lama. Apa yang penting, mereka dapat mengendalikan acara terbabit dengan baik, sekali gus menyelesaikan tugasan seperti yang ditetapkan.
“Bila buat hos, saya boleh ‘masuk’ dengan siapa sahaja kerana saya jenis yang boleh mengikut cara rakan gandingan. Cuma dalam masa sama, saya suka menjadi diri sendiri.
“Saya faham kadang-kala ada yang suka dengan kita dan ada sebaliknya. Jadi saya tidak akan memaksa diri untuk buat orang suka pada saya sehingga memperbodohkan diri dan sebagainya,” ujarnya yang kali terakhir mengendalikan Anugerah Bintang Popular pada tahun 2011. – Agensi