Selepas dua bulan melancarkan perniagaan biskut diberi nama Shelup Shelup, isteri kepada pelakon, Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri mengumumkan untuk tidak lagi meneruskan perniagaan berkenaan.
Menurut Shuhada, 29, dia berdepan pelbagai ujian sepanjang menjalankan perniagaan berkenaan, justeru memutuskan untuk mencari produk lebih sesuai untuk orang ramai.
“Bila mula operasi Shelup Shelup, saya berhadapan dengan macam-macam ujian dan dugaan.
“Walaupun ia normal dalam dunia perniagaan, tapi saya perlu memudahkan perniagaan saya untuk bergerak lebih jauh lagi.
“Saya nak tutup terus pesanan dan fokus untuk penyelidikan (R&D) produk saya yang seterusnya,” katanya.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet menasihatkan Shuhada untuk menjual produk dengan harga mampu milik.
“Maaf Shu. Ini pendapat saya. Lepas ini Shu kena jual harga mampu milik. Kalau ikutkan ramai tidak mampu dengan harga itu.
“Pendapat saya, produk awak agak mahal. Cuba sasar untuk golongan B40 dan M40 atau mungkin para pelajar. Kena buat kajian ikut permintaan rakyat Malaysia,” komen warganet.
Sebelum ini, produk Shelup Shelup mendapat kritikan apabila ada segelintir pihak mendakwa ia dijual dengan harga tidak masuk akal.
Ia susulan biskut dengan enam seleksi berlainan perisa bersama sos cicah itu dijual dengan harga RM179 dan ramai menganggap ia terlalu mahal dan tidak mampu untuk membelinya.
Menjawab mengenai perkara itu, Shuhada berkata ia dijual dengan harga agak tinggi bahan-bahan premium digunakan untuk membuat biskut berkenaan. – Agensi