Saturday, September 21, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Shiha Zikir tanggung rugi RM20,000

    Penyanyi Shiha Zikir terpaksa menanggung kerugian hampir RM20,000 apabila restoran miliknya yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur dipecah masuk.

    Shiha atau Nurshiha Mohd Zikir, 36, berkata, kejadian itu disedari sekitar pukul 10 pagi Khamis apabila salah seorang pekerjanya tiba di premis tersebut untuk memulakan perniagaan.

    “Apabila staf saya masuk dia mula sedar kedai dipecah masuk apabila melihat mesin juruwang dan tempahan atas talian lesap. Dalam mesin itu ada sedikit wang tunai.

    “Kalau kira-kira mungkin hampir RM20,000 juga kerugian termasuk keuntungan sehari sekitar RM10,000. Jadi apabila berlaku begini terpaksalah tutup kedai,” katanya ketika dihubungi mStar.

    Shiha sebelum itu memaklumkan terpaksa menutup operasi restoran itu selama sehari bagi menguruskan hal berkaitan dan dijangka dibuka semula pada Jumaat.

    Tambah penyanyi lagu Irama ini, tiada kesan pecah masuk pada bahagian pintu dan laporan polis dibuat oleh staf bertugas.

    “Apa yang peliknya staf saya beritahu memang tiada kesan pecah masuk. Dia dapat tahu apabila sudah berada dalam kedai.

    “Kejadian ini memang menganggu urusan harian kerana ia melibatkan sistem. Jadi saya harap dapat selesaikan semua dengan segera dan kedai boleh beroperasi semula,” ujarnya. – Agensi

    Shiha berdepan dugaan selepas tiga bulan memulakan perniagaan. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda