Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Siasatan kes Kim Jong-nam berkecamuk

    SHAH ALAM, 27 Jun – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kedua-dua tertuduh mempunyai niat bersama untuk membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam.

    Peguam Gooi Soon Seng yang mewakili warga Indonesia Siti Aisyah, 26, berkata anak guamnya tidak pernah dituduh bersama dengan tertuduh kedua iaitu warga negara Vietnam Doan Thi Huong, 29, kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan mereka mempunyai niat bersama untuk membunuh Kim Chol.

    “Tertuduh pertama tidak pernah dituduh bersama dengan tertuduh kedua. Tetapi dia dituduh bersama empat orang lagi yang tidak dinamakan dan masih bebas,” kata Gooi ketika berhujah pada akhir kes pihak pendakwaan.

    Gooi menyifatkan siasatan yang dilakukan oleh pegawai penyiasat, ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz sebagai berkecamuk sambil menyatakan pihak pendakwaan bergantung kepada dua perkara iaitu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kewujudan produk degradasi VX pada baju tidak berlengan yang dipakai oleh Siti Aisyah.

    “Kes oleh pihak pendakwaan adalah berdasarkan keterangan ikut keadaan tanpa bukti langsung, kebanyakannya berdasarkan CCTV lapangan terbang antarabangsa KL 2 (klia2)” kata beliau dan menambah berdasarkan rakaman CCTV, ‘serangan’ yang dikatakan berlaku tidak jelas dan apa yang semuanya dilihat ialah seorang menggosok sesuatu pada wajah seorang lelaki.

    Salah seorang tertuduh, Doan Thi Huong (tengah) dikawal ketat oleh anggota keselamatan Malaysia selepas sesi mahkamah atas dakwaan terkait dengan pembunuhan Kim Chol di Mahkamah Tinggi Shah Alam, kelmarin. – AFP

    “ia adalah tekaan semata-mata apabila pihak pendakwaan berkata tertuduh pergi ke tandas dan mencuci tangannya. Rakaman CCTV tidak menunjukkan dia pergi ke tandas. Tiada kesan bahan kimia ditemukan dalam tandas atau di laluan yang dilaluinya,” kata Gooi.

    Beliau juga berhujah bahawa baju tidak berlengan iaitu baju-T yang dikatakan dipakai oleh Siti Aisyah tidak mempunyai kesan DNA dan tiada kesan bahan kimia ditemukan di bawah kukunya.

    “Pihak pendakwaan mesti membuktikan dia memakai baju-T pada hari kejadian. Tetapi tiada kesan DNA yang ditemui berbanding dengan baju yang dipakai oleh tertuduh kedua.

    “Jika kesan bahan kimia ditemukan pada baju, anda tentu telah menemukan kesan DNA. Adakah baju ini benar-benar dipakai oleh tertuduh?” Gooi membangkitkannya di mahkamah. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda